HOSPITAL USM PELOPOR KAEDAH VAKSINASI PANDU LALU
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Jun 2021 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi pelopor Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menerusi kaedah pandu lalu (drive-through) yang lebih cepat dan memudahkan.
Seramai 138 individu telah menerima suntikan vaksin COVID-19 secara pandu lalu menerusi dua fasa iaitu fasa satu (1) bermula 22 Mac membabitkan 123 penerima dalam kalangan petugas barisan hadapan Hospital USM dan Kampus Kesihatan USM serta 15 penerima menerusi fasa dua (2) bermula 25 Mei lalu juga melibatkan petugas barisan hadapan Hospital USM dan pesakit berdaftar dengan Hospital USM yang layak menerima vaksin.
Menurut Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, petugas barisan hadapan terutama merupakan golongan yang terlibat dengan tugasan klinikal dan berhadapan pelbagai risiko jangkitan COVID-19 atas faktor urusan rutin pekerjaan.
“Memandangkan seseorang penerima vaksin disaran melengkapkan suntikan kedua-dua dos dalam tempoh yang ditetapkan, Jawatankuasa PICK Peringkat Hospital USM telah merancang dan melaksanakan pemberian suntikan vaksin secara pandu lalu (drive-through) sebagai kaedah pilihan dan selektif kepada penerima yang memenuhi kriteria tertentu sahaja.
“Antara kriteria yang ditetapkan ialah penerima suntikan dos kedua sahaja dan secara temujanji dengan urusetia PPV, penerima suntikan yang berisiko untuk dibenarkan masuk ke kawasan PPV seperti staf yang baru kembali menjalankan tugas di luar negeri Kelantan, luar daerah atau kawasan-kawasan berisiko tinggi dan penerima suntikan dos kedua yang mempunyai gejala COVID-19,”ujarnya ketika ditemubual.
Tambah Sukari, Hospital USM juga telah dikenal pasti oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk melaksanakan pemberian vaksin fasa 2 bermula 25 Mei 2021.
“Sebagai Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), Hospital USM bertanggungjawab untuk memberi suntikan vaksin kepada semua pesakit yang berdaftar dengan Hospital USM dan pesakit luar yang dirujuk oleh PPV komuniti serta menepati kriteria selepas pemeriksaan (pre-vaccination assessment, PVA) oleh Pegawai Perubatan di mana-mana klinik atau fasiliti rawatan di USM.
“Antara kriteria yang ditetapkan ialah berumur 60 tahun ke atas atau berumur 18 hingga 60 tahun dengan penyakit kronik dan berisiko tinggi sekiranya diberi vaksin di PPV komuniti.
“Pendaftaran vaksin boleh dibuat dengan Pegawai Perubatan (doktor) di mana-mana klinik di Hospital USM dan panggilan temujanji suntikan akan dipaparkan menerusi aplikasi MySejahtera penerima.
“Apabila melihat kelancaran projek percubaan (pilot project) pelaksanaan suntikan vaksin secara pandu lalu pada fasa 1, SPPV Hospital USM meneruskan kaedah tersebut pada fasa 2 secara selektif melalui temujanji khusus untuk penerima vaksin yang berkeperluan sahaja,” katanya lagi.
Sukari turut menjelaskan bahawa Pengurusan SPPV Hospital USM bersedia untuk terus melaksanakan kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu bagi keselesaan para penerima vaksin dan akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) serta agensi-agensi berwajib untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Terdahulu Sukari berkongsi pengalaman tentang pelaksanaan SPPV Hospital USM dan kaedah vaksinasi secara pandu lalu dengan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin yang sedang melakukan lawatan tapak pembinaan PPV di Kampus Induk USM Pulau Pinang menerusi platform Webex.
Untuk rekod, seramai 4,938 petugas barisan hadapan Kampus Kesihatan dan Hospital USM telah menerima suntikan vaksin fasa 1 dan sehingga hari ini, 3 Jun 2021, 312 penerima telah menerima suntikan melalui fasa 2.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 583