PPV@USM SEDIA BEROPERASI BANTU TANGANI PENULARAN COVID-19
PULAU PINANG, 18 Jun 2021 - Pusat Pemberian Vaksin, Universiti Sains Malaysia (PPV@USM) telah memulakan operasi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) hari ini.
Taklimat awal diberikan oleh Ketua Operasi Pentadbiran PPV, Zulkifli Che Hussin dan juga Pengarah Pusat Sejahtera USM selaku Ketua Petugas Kesihatan, Dr. Normala Abdul Wahid kepada para petugas yang terlibat dalam operasi sulung PPV ini.
Dalam kalangan petugas sukarela yang terlibat, ada juga di antaranya staf USM yang telah bersara, selain staf sedia ada dan siswa siswi yang ingin turut sama menyumbang tenaga demi menjayakan operasi menangani penularan wabak COVID-19 ini.
Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin juga sempat meluangkan masa turut serta memerhatikan perjalanan operasi PPV di Dewan Utama Pelajar (Dewan Peperiksaan) USM.
Menurut Awang Adek, beliau merasa gembira dan berbangga dengan penglibatan pihak USM dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini.
“Ini adalah agenda kebangsaan, yang mana rakyat perlu diberi vaksin dengan kadar segera,” ujarnya.
“Terima kasih diucapkan kepada Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pengerusi Jawatankuasa PPV@USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim yang telah bekerja keras dalam memastikan kelancaran pelaksanaan operasi pada hari ini.
- Created on .
- Hits: 914