INOVASI DAUN PISANG DIPERKASA
PULAU PINANG, 21 Mei 2013 – Kalau dahulu kegunaan daun pisang hanyalah sebagai pembungkus makanan terutamanya nasi lemak dan kuih muih seperti koci dan lepat, kini kegunaan daun pisang telah dipelbagaikan.
Penyelidik-penyelidik USM yang diketuai oleh pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri, Prof Madya Baharin Azahari menghasilkan daun pisang yang lebih tahan daripada kertas dan juga plastik serta kalis air yang dipanggil AMMIBA Bleaf Eco Wrap (ABEW). Inovasi ini tidak menggunakan bahan kimia atau toksik dan hanya menggunakan getah pisang untuk melekatkan dua lapis daun pisang.
“Dua helai daun pisang dilekatkan dengan getah pisang itu sendiri. Dengan dua lapisan ini, produk tersebut lebih kuat berbanding kertas dan plastik dan ia juga boleh digunakan untuk menghasilkan barangan perhiasan seperti beg, kotak dan lain-lain lagi.
“Proses penyediaan ABEW bermula dengan memotong daun pisang dalam saiz yang dikehendaki, di toreh menggunakan mesin khas untuk mengeluarkan getah, di susun dan dimampatkan dengan suhu panas bagi menjadikan ia tidak mudah pecah atau koyak,” kata Baharin.
Menurut beliau lagi, produk tersebut tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk untuk mengekalkan kesegarannya malah boleh digunakan berulang kali dan tahan lebih lama.
“Produk hijau ini dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk pinggir bandar yang mana pengeluaran pisang banyak dihasilkan,” kata Timbalan Naib Canselor, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Muhamad Jantan dalam sidang media khas yang diadakan di sini baru-baru ini.
“Potensi komersialnya memang agak tinggi dan melihat pasaran global bagi kertas dan bahan pembungkusan dianggarkan sekitar RM1.2 trillion,” kata Muhamad.
Produk ini telah memenangi pingat emas dalam Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 (ITEX 2013) bagi kategori Percetakan dan Pembungkusan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. USM menghantar 15 penyertaan produk dan brejaya merangkul 13 pingat emas dan 2 pingat perak. Teks: Nor Rafizah Md Zain /Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 3185