KIT KESAN DNA KHINZIR BERI MANFAAT KEPADA INDUSTRI HALAL
PULAU PINANG, 21 Mei 2013 –Kejayaan sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan kit bagi mengesan kehadiran unsur khinzir dalam daging atau makanan diproses diyakini dapat memberi manfaat besar dalam industri halal negara.
Ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Tang Thean Hock berkata, inovasi terkini yang dikenali sebagai Porcine DNA Detection Kit itu berupaya untuk mengesan kehadiran unsur khinzir dalam makanan melalui teknik multiplex PCR dalam tempoh tidak lebih dari 11 jam.
Katanya, multiplex PCR adalah satu teknik ujian yang mampu menggandakan dan mengamplifikasikan jujukan Asid Deoksiribonukleik (DNA) berulang untuk mengesan unsur khinzir sehingga menghasilkan keputusan yang sangat tepat, jitu, sensitif dan spesifik.
``Kit ini turut mempunyai kelebihan lain termasuk dihasilkan dengan kos yang jauh lebih murah dari harga pasaran, mempunyai ujian kawalan dalaman sebagai kawalan mutu untuk kebolehpercayaan hasil ujian serta bertindak 2 dalam 1.
``Ia bermaksud selain mendapatkan keputusan yang tepat, ujian menggunakan kit ini turut merangkumi kaedah pengekstrakan DNA yang mudah dan mantap yang tidak terdapat pada produk sedia ada dalam pasaran,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas memperkenalkan produk penyelidikan USM yang dipengerusikan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Muhamad Jantan di sini hari ini.
Tang juga menegaskan, produk yang dibangunkan dengan dua lagi penyelidik bersama iaitu Siti Aminah Ahmed dan Lee Li Pin itu dianggarkan boleh dihasilkan dengan kos serendah RM500 bagi menguji sehingga 50 sampel.
``Porcine DNA Detection Kit ini amat sesuai digunakan bagi agensi pensijilan halal serta agensi pemeriksaan makanan seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan seumpamanya di seluruh dunia,” katanya.
Tambah beliau, inovasi yang telah diiktiraf dengan pingat emas dalam Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 (ITEX 2013) itu turut berupaya mengurangkan kos operasi dalam proses pensijilan halal yang digunapakai pihak berkuasa masa kini.
``Kebiasaanya pihak berkuasa perlu menghantar sampel ke jabatan kimia untuk diuji menggunakan mesin mass spectrometer yang beroperasi berasaskan ujian kimia yang jauh lebih mahal kosnya. Kit yang kita usahakan ini berasaskan kepada ujian biologi dan ia dapat menjimatkan kos,’’ ujarnya.
Mengulas mengenai langkah pengkomersialan produk tersebut, beliau berkata sehingga kini ada beberapa pihak di sektor industri telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama namun kesemuanya masih di peringkat perbincangan. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 2432