USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERUSIA LEBIH 120 TAHUN TETAP SAHUT SERUAN SUNTIK VAKSIN DI SPPV HOSPITAL USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Jun 2021 – Seorang wanita dipercayai berusia lebih 120 tahun merupakan antara penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

WhatsApp_Image_2021-06-10_at_00.50.45.jpeg

Wanita berkenaan, Siti Liah Mamat dipercayai wanita tertua di negeri Kelantan merupakan individu yang dikenal pasti memenuhi kriteria antara 84 penerima suntikan vaksin di SPPV Hospital USM hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM yang juga Penyelaras SPPV,  Profesor Dr. Mohd Imran Yusof berkata, SPPV Hospital USM bertanggungjawab untuk memberi suntikan vaksin kepada semua pesakit yang berdaftar dengan Hospital USM dan pesakit luar yang dirujuk oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Komuniti serta menepati kriteria selepas pemeriksaan (pre-vaccination assessment, PVA) oleh Pegawai Perubatan di mana-mana klinik atau fasiliti rawatan di USM.

“Antara kriteria yang ditetapkan ialah berumur 60 tahun ke atas atau berumur 18 hingga 60 tahun dengan penyakit kronik dan berisiko tinggi sekiranya diberi vaksin di PPV komuniti.

Pendaftaran vaksin boleh dibuat dengan Pegawai Perubatan (doktor) di mana-mana klinik di Hospital USM dan panggilan temu janji suntikan akan dipaparkan menerusi aplikasi MySejahtera penerima.

“Siti Liah merupakan antara individu yang tergolong dalam kriteria tersebut dan mengesahkan kehadiran untuk menerima suntikan vaksin pada hari ini,” ujarnya ketika ditemu bual.

Tambah Imran, oleh kerana faktor usia penerima vaksin (Siti Liah) tergolong dalam kategori yang berisiko tinggi, pemantauan yang lebih perlu dilakukan bagi memastikan beliau tidak mengalami sebarang kemudaratan.

“Selepas selesai divaksinasi dan menjalani tempoh pemerhatian, Alhamdulillah tiada sebarang masalah dialami oleh penerima dan beliau dibenarkan pulang,” jelasnya lagi.

Siti Liah yang ditemui selepas menerima suntikan vaksin pula melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Hospital USM di atas kerjasama serta menyeru orang ramai untuk segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin bagi membantu kerajaan menangani pandemik COVID-19.

Turut menerima suntikan vaksin pada hari ini ialah seorang warga emas berusia 90 tahun dari Rantau Panjang, Gan Giok Hiang yang ditemani anak saudaranya, Lim Mik Way, 79, yang mana keduanya-duanya berbangga menerima suntikan di SPPV Hospital USM.

WhatsApp_Image_2021-06-10_at_00.50.44.jpeg

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 622

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024