JADIKAN MEMBACA SATU AMALAN
Pengkalan Hulu, 19 Mei 2013 - “Masyarakat maju yang menguasai pelbagai bidang ilmu adalah terdiri daripada masyarakat yang suka membaca,” kata isteri Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datin Noraizan Jamaludin.
Penaung Hal Ehwal Wanita (HELWA) USM itu bercakap kepada anak-anak di Kediaman Abu Nur ketika merasmikan Pusat Sumber Abu Nur di Kediaman Abu Nur, Pengkalan Hulu baru-baru ini.
Noraizan menyeru agar anak-anak yang tinggal di sini menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya hidup yang positif dan berterusan untuk berjaya pada masa hadapan.
Tambahnya lagi, Jawatankuasa HELWA Pusat Islam USM telah mengambil inisiatif yang baik bagi membantu memurnikan Pusat Sumber di Kediaman Abu Nur ini untuk memberi ruang pembelajaran dan pembacaan yang selesa serta memudahkan anak-anak di sini mendapatkan bahan bacaan dan sumber rujukan yang lengkap dan terkini.
Jawatankuasa HELWA USM turut mengadakan aktiviti gotong-royong dan menanam pokok sempena Majlis Perasmian yang melibatkan seramai 50 orang penghuni perempuan seawal usia 7 tahun sehingga 17 tahun yang terdiri daripada anak-anak yatim, anak-anak miskin tegar dan anak-anak yang kurang bernasib baik.
Turut hadir ialah Dr. Nurulain Abdullah Bayanuddin, Pengarah Pusat Sejahtera USM merangkap Pengerusi HELWA Pusat Islam USM. Teks: Mu’azzah Binti Ismail/Foto: Zainuddin Salman
- Created on .
- Hits: 1811