PROF. DATO’ ABDUL RAHMAN MOHAMED DILANTIK SEMULA SEBAGAI TNC PENYELIDIKAN DAN INOVASI
PULAU PINANG, 22 Mei 2021 - Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed telah dilantik semula oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi (P&I), Universiti Sains Malaysia (USM) untuk tempoh dua tahun lagi, bermula 1 Mei 2021 hingga 30 April 2023.
Beliau yang pernah menyandang jawatan TNC Jaringan Industri dan Masyarakat USM, mula mengambil alih tugas TNC P&I pada 1 Mei 2018 dan sejak itu, telah membawa pelbagai transformasi dalam bidang penyelidikan, pembangunan inovasi dan pengkomersilan universiti.
Abdul Rahman, 57, yang juga Pengarah Sains@USM (Sciences and Arts Innovation Space), memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM pada tahun 1993, yang mana beliau merupakan salah seorang pengasas Pusat Pengajian tersebut pada masa itu dan pernah menjadi Dekan.
Sebagai sarjana dan penyelidik terkemuka di Malaysia dan antarabangsa, kepakaran beliau merangkumi penyelidikan dalam bidang kejuruteraan tindak balas dan katalisis/pemangkinan, pencemaran udara, rawatan air sisa, teknologi bahan bakar dan nanoteknologi.
Pencapaiannya yang cemerlangdalam penyelidikan menyaksikan beliau menerima lebih 80 anugerah, penghargaan dan pengiktirafan kebangsaan/antarabangsa, dan yang terkini anugerah Malaysia Highly Cited Researchers Award 2019/2020 oleh Clarivate Analytics.
Abdul Rahman merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr.Noraini Ahmad kerana melantiknya semula, dan juga kepada Kementerian Pengajian Tinggi atas kepercayaan yang berterusan terhadapnya.
“Ucapan yang sama turut ditujukan kepada Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti dan Naib Canselor atas sokongan dan dorongan mereka yang tidak berbelah bagi selama ini.
"Pelantikan semula ini sangat bermakna bagi saya, dan saya akan berusaha sedaya upaya untuk terus membantu universiti dalam mengemudi hala tuju penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan terutamanya bidang-bidang khusus/niche yang diterajui USM, demi memastikan USM terus kekal menjadi antara Universiti Penyelidikan (RU) yang terulung, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang mengucapkan tahniah kepada Abdul Rahman atas pelantikan semulanya itu, yakin beliau akan terus memacu strategi penyelidikan dan inovasi global universiti, dengan memberi tumpuan kepada inisiatif yang akan membentuk masa depan universiti, memacu inovasi serta membawa impak dalam konteks sosial dan ekonomi.
Pada tahun 2020, bagi Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) 1/2020, USM mencatat peningkatan yang ketara dari segi jumlah permohonan, peratusan permohonan yang berjaya dan jumlah geran yang diterima (RM23.8 juta), berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekaligus meletakkan USM antara universiti teratas dalam kalangan universiti di negara ini.
Pada tahun yang sama, USM juga tersenarai sebagai universiti awam dengan paling banyak projek yang diluluskan bagi Skim Geran Penyelidikan Prototaip (PRGS), yang mana 8 penyelidik berjaya memperoleh lebih daripada RM1 juta secara kolektif (kadar kejayaan 40%).
USM juga telah menghasilkan terbitan SCOPUS terbanyak untuk Malaysia pada tahun 2020.
Penghargaan khas dirakamkan kepada Abdul Rahman dan staf Bahagian Penyelidikan & Inovasi serta Pejabat Kreativiti & Pengurusan Penyelidikan (RCMO) kerana banyak memberi bantuan, bimbingan dan sokongan yang diperlukan, serta para akademik dan penyelidik yang telah meluangkan masa mereka dalam usaha menyumbang kepada kecemerlangan universiti dalam penyelidikan dan inovasi.
Terjemahan: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Infografik: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1170