USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROJEK RINTIS VAKSINASI SECARA PANDU LALU BERJALAN LANCAR DI HOSPITAL USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Mei 2021 - Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini melaksanakan dengan jayanya inisiatif pemberian vaksin/vaksinasi COVID-19 secara pandu lalu, yang dipercayai merupakan kaedah pemberian vaksin seumpama itu yang pertama di negara kita.

WhatsApp_Image_2021-05-30_at_14.51.05.jpeg

Pelaksanaan vaksinasi pandu lalu itu melibatkan 130 penerima yang menerima vaksin COVID-19 dari dalam kereta masing masing.

Menurut Hospital USM yang juga sebuah Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), inisiatif tersebut yang dilaksanakan sebagai projek rintis di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan diperluas untuk meningkatkan lagi kadar vaksinasi harian dan pada masa yang sama memberikan kemudahan kepada penerima vaksin.

Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), berkata dalam satu sidang media hari ini, berikutan kejayaan tersebut, pihak kerajaan akan memperkenalkan pelaksanaan vaksinasi secara kaedah pandu lalu kepada orang ramai dalam masa terdekat ini.

WhatsApp_Image_2021-05-30_at_14.51.04.jpeg

Pihaknya sedang memperincikan garis panduan yang terbabit, dan kaedah pemberian vaksin itu diharap dapat membantu mempercepat program imunisasi COVID-19 kebangsaan terutamanya apabila lebih banyak bekalan vaksin negara yang ditempah akan sampai pada bulan-bulan akan datang dan pertambahan dalam bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara seperti yang dirancang pihak kerajaan.

Khairy turut menambah walaupun PPV pandu lalu ini adalah idea yang baik, ianya lebih perlahan dengan jumlah suntikan harian yang lebih rendah berbanding sistem yang digunakan sekarang.

Pemberian vaksin secara pandu lalu telahpun diguna pakai di Amerika Syarikat, Indonesia dan Rwanda, Afrika.

Tahniah dan syabas kepada Hospital USM dalam melaksanakan inisiatif tersebut yang selaras dengan hasrat Kerajaan mensasarkan sehingga 80% penduduk Malaysia menerima vaksinasi bagi mendapat imuniti kelompok membendung penularan wabak COVID-19.

#WeLead   #KamiMemimpin

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 697

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024