USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PADU SUMBANG ‘NASAL HIGH FLOW SYSTEM’ UNTUK PESAKIT HOSPITAL USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Mei 2021 – Di saat negara bergelut menangani pandemik COVID-19 yang menunjukkan peningkatan saban hari sehingga sebilangan besar pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan, Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU) mengambil inisiatif menyumbang alat sokongan pernafasan ‘Nasal High Flow System’ kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Presiden PADU, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah menyampaikan sumbangan peralatan tersebut kepada Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset, Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman di Unit Rawatan Rapi Hospital USM hari ini.

WhatsApp_Image_2021-05-27_at_23.07.37_1.jpeg

Menurut Jafri, sumbangan peralatan tersebut bertujuan untuk membantu merawat pesakit COVID-19 dan pesakit yang mengalami jangkitan pernafasan akut yang teruk (SARI).

“Peralatan yang bernilai kira-kira RM24,000 ini merupakan hasil sumbangan orang ramai untuk Projek Dana Pembelian Alatan Sokongan dan Bantuan Pernafasan: (COVID-19) PADU bermula Mac tahun lalu.

“Projek ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dan berjaya mengumpul dana melebihi RM100,000,” ujarnya.

Tambah Jafri, melalui dana tersebut juga, PADU telah menyumbangkan alat sokongan pernafasan yang sama kepada Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

“Selain itu, PADU turut membeli 11 set ‘Helmet Continuous Positive Airway Pressure’ (CPAP) dan lima ‘Helmet Bilevel Positive Airway Pressure’ (BiPAP) dan telah diagihkan kepada enam hospital di Malaysia iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Queen Elizabeth 1, Hospital Umum Sarawak dan juga Hospital USM.

“PADU turut bekerjasama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) mengagihkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hampir 20 hospital di seluruh Malaysia melalui wakil PADU di setiap hospital,” jelasnya lagi.

Jafri turut berharap agar lebih ramai yang akan tampil menghulurkan sumbangan bagi merealisasikan hasrat petugas barisan hadapan dalam memberi rawatan efisien kepada pesakit yang semakin meningkat akhir-akhir ini.

“PADU juga berterima kasih kepada semua penyumbang dan mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk membantu pesakit yang memerlukan alat sokongan pernafasan.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) bernombor 03018010143411 dengan rujukan TABUNG PADU 2021 atau menghubungi talian 012-9888186 (Presiden)/ 019-9186809 (Setiausaha) untuk sebarang maklumat lanjut.

WhatsApp_Image_2021-05-27_at_23.07.37.jpeg

“Para penyumbang juga boleh mendapatkan resit sumbangan bagi tujuan pengecualian cukai,” ujarnya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 690

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024