RINTIS SHIFT 2013: TNC SERU DIBAWA KE PERINGKAT NASIONAL
PULAU PINANG, 21 MEI 2013 – “Saya berharap pada masa mendatang Program Rintis Shift ini dilebarkan ke peringkat nasional agar pelajar kita berpeluang mencambahkan ilmu dan kreativiti bersama institusi luar disamping membantu mereka memenuhi kehendak industri kelak”
Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Adnan Hussein, berkata program sebegini sememangnya layak diketengahkan ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa sebagai platform pelajar Tahun akhir Pengajian Seni mempamerkan hasil kerja produk mereka.
Menurut Adnan, Rintis Shift cukup bermakna buat pelajar tahun akhir Pengajian Seni mengilimiahkan apa yang dipelajari selama 3 tahun pengajian dan ruang ini perlu diguna sebaik mungkin untuk mempamerkan hasil kerja yang direncana.
‘Pihak universiti sentiasa menyokong usaha yang dilakukan oleh Pusat Pengajian dalam mengetengahkan bakat dan kreativiti pelajar kerana ia penting dalam menjenamakan USM, Pusat Pengajian termasuk menjenamakan hasil ciptaan pelajar itu sendiri,” katanya ketika merasmikan Festival Rintis Shift 2013 Art & Design Projek Pelajar Tahun Akhir, Pusat Pengajian Seni, USM, kelmarin.
Turut hadir adalah Pengarah Dewan Budaya yang juga Dekan Pusat Pengajian Seni, Prof. Madya Mohamad Omar Bidin dan Pengarah Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Zolkurnian Hassan.
Kata Adnan lagi, untuk melaksanakan program seperti ini tidak semudah yang dilihat, bukan sahaja membangunkan produk tetapi menjayakan majlis agar memberi kesan kepada kita semua.
“Kejayaan seseorang pelajar adalah melalui kesilapan dan pengajaran lalu. Jadikanlah kesilapan itu sebagai panduan untuk memperbaiki diri, kerana anda adalah aset berharga buat universiti”
Turut menyerikan majlis adalah persembahan ‘Flash Mob’ lagu rasmi Rintis diterajui oleh Pegawai Kebudayaan, Dewan Budaya, Andy Siti Nurhidayah Rahim dihadapan Prof. Adnan dan pegawai utama yang lain.
Persembahan tersebut melibatkan hampir 40 orang warga Staf dan pelajar Pusat Pengajian Seni di Permatang Pelajar yang mendapat tepukan gemuruh dari tetamu yang hadir.
Festival Rintis Shift 2013 merupakan program tahunan anjuran pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Seni mempamerkan hasil ciptaan mereka untuk projek tahun akhir pengajian bidang masing-masing.
Antara yang terlibat adalah pelajar dari pengkhususan Seni Halus, Lakonan dan Pengarahan, Persembahan dan Pedagogi, Grafik Komunikasi, Rekabentuk Produk dan Teknologi Rekabentuk Media Baru. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 3678