USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PATUHI SETIAP S.O.P YANG DITETAPKAN UNTUK HADAPI PANDEMIK COVID-19, SERU TNC HEPA USM

WhatsApp_Image_2021-05-13_at_20.42.48_1.jpeg

PULAU PINANG, 14 Mei 2021 - Semua pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) haruslah mematuhi segala prosedur operasi standard (S.O.P) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk menghadapi pandemik COVID-19 yang kian meleluasa dan mengancam masyarakat dunia termasuk negara kita.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah berkata, para pelajar tidak harus memandang remeh akan keadaan ini dan sentiasa ingat bahawa “mencegah lebih baik daripada mengubati.”

Prof_Aldrin.jpg

“Di sini saya ingin nasihati dan tekankan sekali lagi, semua pelajar USM haruslah mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang waktu dengan mematuhi S.O.P yang disediakan terutama mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dengan betul, dan mencuci tangan atau mensanitasi tangan dengan kerap.

“Elakkan aktiviti berkumpul beramai-ramai, sentiasa jaga S.O.P yang ditetapkan ketika berziarah atau pergi ke bilik rakan dan patuhi segala garis panduan lain yang telah disediakan dengan sepenuhnya di desasiswa,” katanya.

Menurutnya lagi, sikap menyalahkan satu sama lain, mengambil mudah dan tidak peduli akan S.O.P hanya mendatangkan padah serta memburukkan keadaan yang sudah pasti akan menimbulkan keresahan.

“Pihak USM telah menyatakan perkara ini berulang kali tanpa jemu dengan mengeluarkan pelbagai notis/hebahan melalui pelbagai wahana seperti media sosial persatuan pelajar di USM, Facebook rasmi, laman web rasmi dan sebagainya dengan menekankan pematuhan S.O.P kepada pelajar USM.

“Selain itu, panduan dalam melakukan kerja di makmal, perhubungan rasmi di pejabat, penggunaan pengangkutan, penggunaan dokumentasi “keluar-masuk” kampus, pemeriksaan kesihatan oleh Pusat Sejahtera serta pelbagai inisiatif lain telah dilakukan oleh USM sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada Mac 2020 yang lalu.

Beliau turut mengingatkan pelajar untuk membaca, memahami dan mematuhi semua S.O.P serta pemberitahuan demi keselamatan dan kesejahteraan semua.

Tegas beliau, kita pasti dapat mengharungi peperangan pandemik ini bersama-sama.

Dalam pada itu, USM menyantuni 3,000 siswa siswinya yang tidak pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri, dengan memberi sumbangan berupa makanan yang disediakan khas oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan Pusat Islam USM.

Sebanyak 5,300 bungkusan makanan disediakan dan diagihkan secara berperingkat pada waktu pagi dan petang kepada semua siswa siswi di desasiswa masing-masing.

Kata Aldrin, biarpun hanya makanan berbungkus, namun saya berharap nikmat itu dapat dirasai semua warga USM ketika beraya di kampus secara sederhana dengan penuh kesyukuran.

  • Created on .
  • Hits: 710

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024