USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PASTI MENANG PERJUANGAN MENENTANG COVID-19

 

WhatsApp_Image_2021-05-13_at_20.42.48.jpg

USM PULAU PINANG, 15 Mei 2021 - Kesemua warga kampus perlu sentiasa bersedia dan bersatu, meningkatkan disiplin serta fokus dalam menentang ancaman wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Demikian seru Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam kenyataan yang disampaikan beliau dalam saluran facebook USM dan mel dalaman, yang ditujukan khas kepada seluruh warga kampus induk USM iaitu staf dan pelajar ijazah pertama dan ijazah tinggi.  

Hal ini berikutan dengan keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti di negara kita yang semakin meruncing, ditambah pula dengan munculnya kes varian-varian baharu di negara kita, dan juga seiring dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara dari 12 Mei hingga 7 Jun 2021 seperti yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kata beliau lagi, “semangat kita adalah untuk memastikan USM terus beroperasi, menyampaikan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran serta menghasilkan penyelidikan yang berimpak, dalam urusan harian kita berdepan dengan norma-norma baharu kehidupan.”

Beliau turut mengingatkan semua bahawa USM telah menguruskan krisis COVID-19 dengan jayanya sejak Mac 2020 dan berbekalkan pengalaman dan ilmu yang ada, warga universiti seharusnya mampu terus menangani krisis ini dengan efektif untuk kali ini.

Pendekatan serampang tiga mata

Pihak Universiti akan menangani masalah yang sedang dihadapi melalui pendekatan serampang tiga mata, iaitu 1. Menyekat potensi penyebaran COVID-19; 2. Menguruskan kepulangan pelajar ke USM dengan kawalan dan penjadualan yang baik; dan 3. Mengehadkan akses pergerakan keluar-masuk yang tidak dijadualkan ke kampus USM.

“Saya akui ia bukanlah suatu tugas yang mudah, namun apa yang penting ialah kesemua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, berfikir dengan tenang dan menjaga di antara satu sama lain dalam tempoh yang mencabar ini.

“Kita memahami bahawa kita mempunyai tanggungjawab terhadap kesemua pihak – ibu bapa yang pastinya khuatir akan keselamatan anak mereka, pihak penaja, pihak kedutaan dan semua rakan-taulan USM,” tambah Naib Canselor, yang turut menegaskan bahawa kesemua ini dilakukan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua yang terkesan.

Dari statistik terkini yang disediakan pihak Nerve Centre COVID-19 USM dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, didapati USM mempunyai:

  • 2,600 pelajar yang memilih untuk terus tinggal di kampus (dan juga keluarga mereka);
  • Hampir 100 staf dan keluarga yang tinggal dalam kampus (staf desasiswa, jabatan keselamatan, jabatan pembangunan);
  • 1,400 pelajar yang akan pulang selepas cuti Hari Raya;
  • 1,100 pelajar yang akan pulang ke kampus bagi Fasa 2 yang telah dijadualkan sebelum ini; dan
  • 3,100 staf – akademik dan bukan akademik yang bekerja dalam kampus.

RST.jpg

Terus kekal di dalam kampus

Naib Canselor menyeru agar semua pelajar, staf dan keluarga yang menetap dalam kampus induk untuk terus kekal di dalam kampus selama 10 hari bermula 15 Mei sehingga 25 Mei 2021.

“Ideanya adalah untuk mengehadkan pergerakan, seterusnya mengurangkan risiko pendedahan kepada COVID-19 dan ini akan mengehadkan potensi penyebaran.

“Dalam tempoh itu, kafeteria akan beroperasi menjual makanan dan minuman, dan wakil pelajar yang dilantik akan membuat pembelian pukal keperluan isi rumah seperti lampin kanak-kanak dan susu tepung selain barangan keperluan harian,” katanya.  

USM juga telah membuat persediaan teliti untuk menerima hampir 2,500 pelajar yang terdiri daripada mereka yang pulang dari Hari Raya dan mereka yang dijadualkan pulang lebih awal ke kampus (Fasa 2).

Kesemua pelajar yang kembali itu perlu mematuhi prosedur pengasingan di dalam kampus kecuali bagi mereka yang memilih untuk menjalani ujian swab dalam tempoh minimum yang ditetapkan sebelum pulang.

Tangguh semua sesi bersemuka F2F

Menurut Naib Canselor lagi, pihak Universiti telah membuat keputusan untuk menangguhkan semua sesi penting bersemuka (F2F) termasuk makmal dan seumpamanya ke tarikh tentatif 7 Jun 2021.

“Maka dari sekarang sehingga 7 Jun 2021, semua pengajaran dan pembelajaran akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian, begitu juga semua peperiksaan untuk semester ini akan dilakukan secara dalam talian,” katanya.

Bagi pelajar pascasiswazah pula, beliau berkata, USM akan terus memantau keadaan semasa dan berhasrat untuk membenarkan mereka akses yang terhad ke makmal secepat mungkin dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) makmal sedia ada yang diguna pakai.

“Antaranya mengehadkan bilangan pelajar yang dibenarkan di dalam makmal pada satu-satu masa dan jumlah masa yang diperuntukkan untuk setiap pelajar menggunakan kemudahan makmal turut dihadkan,” jelasnya.

Hadkan staf yang masuk ke kampus 10%; rekod kehadiran kerja dalam SKKF

Dalam usaha untuk meminimumkan risiko penularan kepada warga staf dan pelajar yang berada di dalam kampus, pihak Universiti juga mengehadkan bilangan maksimum harian staf yang masuk ke kampus kepada 10%, dengan staf selebihnya perlu bekerja dari rumah, di sepanjang tempoh 15 Mei hingga 25 Mei 2021.

Untuk keperluan penjejakan kontak dan penguatkuasaan had 10% staf masuk ke kampus, kesemua staf (akademik dan bukan akademik) wajib merekodkan kehadiran bekerja dalam Sistem Kehadiran Kerja Fleksi (SKKF), dan ketua jabatan diminta untuk memastikan sistem ini dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh setiap staf di bawah seliaannya.

Kesemua lawatan/perbincangan/mesyuarat secara bersemuka dengan pihak luar yang telah dirancang untuk diadakan dalam kampus perlu dibatalkan sejajar dengan arahan dalam PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa.

Akhir kata, Naib Canselor mendoakan seluruh warga universiti berada dalam tahap kesihatan yang baik di samping keluarga, mematuhi segala SOP yang ditetapkan serta menyampaikan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Universiti yang telah bersama-sama berusaha memerangi wabak pandemik COVID-19 ini.

USM pasti menang perjuangan menentang COVID-19!

Teks: Diadaptasi dari Kenyataan Rasmi Naib Canselor kepada warga kampus induk USM, 15 Mei 2021/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 866

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024