USM RANGKUL ANUGERAH KECEMERLANGAN TEKNOLOGI UNTUK DIGITAL - PENDIDIKAN
JORaN menawarkan lebih 30 kategori pekerjaan sambilan di dalam kampus untuk pelajar menjana pendapatan tambahan. Sejakia diperkenalkan, lebih 400 pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
PULAU PINANG, 11 Mei 2021 - Universiti Sains Malaysia (USM) telah memenangi anugerah Digital - Pendidikan menerusi aplikasi mudah alih JORaN (Job Opportunities, Recruitment and Networking) di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2021 (Malaysia Technology Excellence/MTE Award) yang baru saja berakhir, yang disampaikan olehmajalah bisnis terkemuka Singapore Business Review.
Dibangunkan sepenuhnya oleh sekumpulan pelajar USM, JORaN adalah platform yang mempertemukan pelajar USM, usahawan pelajar dan kesemua jabatan di USM dalam persekitaran majikan-pekerja yang kondusif.
Aplikasi tersebut juga dipercayai merupakan aplikasi yang pertama seumpamanya dalam kalangan universiti di Malaysia.
Seorang "majikan" (usahawan pelajar atau jabatan/unit di USM) dapat memilih "pekerja"nya (pelajar USM) berdasarkan sokongan dan komen dari "majikan" yang lalu melalui platform itu. Seorang majikan juga boleh mencari bakal pekerjanya dengan mengemukakan keterangan tentang keperluannya dan keperluan pekerjaan yang terbabit.
JORaN menawarkan pelbagai pekerjaan sambilan di dalam kampus untuk pelajar memohon dan menjana pendapatan tambahan. Terdapat lebih 30 kategori pekerjaan dari pelayan hingga pembantu penyelidik, dan boleh dimuat turun secara percuma pada kedua-dua peranti iOS dan Android.
JORaN dilancarkan oleh USM pada 4 September 2019 bersempena dengan pendaftaran pelajar baharu untuk sidang akademik 2019/2020 setelah menyedari bahawa banyak pelajar universiti mencari pekerjaan sambilan untuk mengumpulkan pendapatan tambahan bagi menampung pengajian mereka.
Konsep di sebalik inovasi tersebut diilhamkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah.
Aplikasi tersebut dibangunkan sepenuhnya oleh tiga pelajar USM dari pelbagai latar belakang dan etnik - Danny Hartanto Djarum, Asamoah Kwaku Acheampong dan Lai Beng Keong di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Nurul Hashimah Ahamed Hassain Malim dari Pusat Pengajian Sains Komputer.
Danny, yang berasal dari Indonesia dan menuntut di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia menyertai rakan-rakan sepasukannya pada April 2019 dan terlibat dalam reka bentuk antara muka pengguna JORaN.
Manakala Asamoah dari Ghana and Beng Keong, warga tempatan, kedua-duanya merupakan pelajar Pusat Pengajian Sains Komputer dan bertanggungjawab terhadap pembangunan infrastruktur backend.
Aldrin menyambut baik inisiatif kumpulan pelajar tersebut dalam menyediakan platform yang membolehkan warga pelajar sendiri terutamanya mereka dari golongan B40 menjana pendapatan tambahan semasa pengajian, sekaligus membantu meringankan beban kewangan keluarga mereka.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia tahun ini diadakan secara maya/dalam talian berikutan wabak pandemik COVID-19.
Anugerah tersebut diadakan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada syarikat-syarikat yang berjaya mempelopori produk IT, penyelesaian dan projek teknologi inovatif di industri masing-masing untuk melonjakkan lagi ekonomi Malaysia supaya berkembang pesat.
Panel juri untuk Anugerah tahun ini dianggotai oleh pakar dan tokoh terkemuka dari industri berprestij termasuk PwC Malaysia, Ernst & Young Advisory Services, Deloitte Asia Pacific, KPMG, Crowe Growth Consulting Sdn Bhd dan RSM Malaysia.
Terjemahan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 831