JABATAN BENDAHARI USM TAJA KAD TOUCH N GO UNTUK PERJALANAN BALIK PELAJAR
PULAU PINANG, 7 Mei 2021 - Jabatan Bendahari Universiti Sains Malaysia (USM) menaja semua kad Touch ‘n Go yang digunakan oleh bas USM untuk perjalanan pulang pelajar berhari raya ke seluruh negara esok.
Kad disampaikan oleh Timbalan Bendahari Kanan, Bahagian Perolehan, Aset dan Strategik, Rafizal Abdul Rahim kepada Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Mohamad Abdullah dengan menggunakan wang dari Tabung COVID-19 yang disumbangkan oleh warga kampus.
Sebanyak 5 buah bas USM dan 9 buah bas catar dan 3 buah bas dari kerajaan negeri dan Yayasan Negeri akan bertolak dari Padang Kawad USM jam 7.00 pagi esok, 8 Mei 2021.
Dijangkakan bas terakhir yang akan bergerak adalah pada jam 10.00 pagi iaitu bas Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang membawa pulang pelajar Negeri Selangor.
Pergerakan pulang pelajar USM ke kampung halaman sempena perayaan Aidilfitri melibatkan lebih 2,700 orang pelajar dari ketiga-tiga kampus USM.
Daripada jumlah tersebut, seramai lebih 600 orang pelajar akan menggunakan perkhidmatan bas yang diuruskan oleh BHEPA dengan kerjasama Persatuan Anak Negeri USM.
Yang selebihnya menaiki kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau menggunakan kemudahan kapal terbang, seperti yang digariskan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Terdahulu, KPT mengumumkan lebih 100,000 pelajar IPT yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak, dan pergerakan secara berfasa itu ditetapkan dari 7 hingga 12 Mei dari kampus ke kediaman masing-masing manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.
- Created on .
- Hits: 881