USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM MULAKAN PERJALANAN BALIK BERHARI RAYA

PULAU PINANG, 8 Mei 2021 - Selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memberi ruang kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pulang berhari raya di kampung, Universiti Sains Malaysia (USM) telah memulakan urusan menghantar pulang kira-kira 2,700 pelajarnya ke serata negeri bermula hari ini.

WhatsApp_Image_2021-05-08_at_10.03.04_1.jpeg

Peluang untuk pulang berhari-raya itu rata-ratanya disambut baik oleh para pelajar dan mereka dilihat teruja menaiki bas-bas yang disediakan khas oleh pihak pengurusan USM bersama Persatuan Anak Negeri dengan kadar caj yang minimum.

Bagi Soleha Jasni, 22, pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang berasal dari Kulai, Johor, kesempatan pulang berhari raya adalah berita paling gembira buatnya.

"Saya memang menunggu berita baik ini. Terima kasih KPT dan terima kasih USM kerana sentiasa membantu menguruskan perjalanan kami dengan sebaiknya," katanya yang turut menyatakan amalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan akan sentiasa dipraktikkan setiap masa.

EAM_7319.jpg

Bagi Amir Muhaimin Cik Ramly, 22, pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan yang akan menyambut lebaran di Tanah Merah, Kelantan, beliau menzahirkan rasa lega kerana berkesempatan untuk pulang beraya bersama keluarga tersayang.

"Pun begitu saya tetap akan mengutamakan keselamatan dan kesihatan semua. Sebelum ini pun saya mengurangkan aktiviti keluar dari kampus bagi memastikan saya tidak terdedah dengan aktiviti atau kawasan-kawasan yang ramai orang," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah pula berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang terlibat dengan urusan membantu pelajar untuk pulang ke destinasi masing-masing.

WhatsApp_Image_2021-05-08_at_10.03.04_3.jpeg

Beliau turut berkata, selain pulang ke pangkuan keluarga, pelajar juga diberikan pilihan untuk kekal di kampus dan pihaknya turut mengatur sedikit sambutan (jamuan) bagi mereka yang memilih untuk tinggal di kampus.

"Saya mendoakan keselamatan semua pelajar dan berharap mereka dapat mengutamakan kesihatan walau di mana mereka berada," ujar beliau ketika melakukan tinjauan di Padang Kawad USM di sini hari ini.

Terdahulu, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut meluangkan masa meninjau urusan penghantaran pulang pelajar USM dan mengingatkan semua pelajar agar sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing.

WhatsApp_Image_2021-05-08_at_10.03.04.jpeg

Dalam pada itu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM turut mengambil beberapa inisiatif utama dalam memastikan urusan balik kampung berkenaan berjalan lancar.

Selain menyediakan kemudahan 14 buah bas, pihak Universiti turut memberikan kebenaran pelajar pulang dengan pelbagai mod pengangkutan yang dibenarkan termasuk menaiki kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa mahupun menggunakan kemudahan kapal terbang.

Pihak Universiti turut membantu menaja kos pembayaran kad Touch and Go bagi semua pengangkutan bas USM melalui sumbangan dana Tabung COVID-19 USM.

Terdahulu, KPT mengumumkan lebih 100,000 pelajar IPT yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak, dan pergerakan secara berfasa itu ditetapkan dari 7 hingga 12 Mei dari kampus ke kediaman masing-masing manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 808

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024