USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

1,000 BUNGKUS JUADAH BERBUKA SETIAP HARI, HASIL GOTONG-ROYONG WARGA KAMPUS DAN PESARA USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 April 2021 – Sebanyak 800 hingga 1,000 bungkus juadah berbuka puasa disediakan oleh sukarelawan Ihya’ Ramadan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) setiap hari untuk diagihkan kepada para petugas barisan hadapan Hospital USM, peneman pesakit, para pelajar yang menginap di asrama dan kariah masjid.

kesihatan.jpg

Menurut Pemangku Timbalan Pengarah (Pentadbiran) Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Amira Abd Sattar@ Ismail, juadah akan mula diagihkan pada jam 3.30 petang setiap hari ke lokasi-lokasi seperti dalam wad, dewan bedah, pos keselamatan dan asrama pelajar.

“Tugas memasak bermula pada jam 8.30 pagi, diikuti aktiviti membungkus juadah dan semua tugas ini dilakukan secara gotong royong oleh sukarelawan pusat tanggungjawab (PTJ), ahli Kelab Jasa Budi yang terdiri daripada pesara-pesara USM, ahli-ahli persatuan dalaman USM serta pelajar.

“Kami memerlukan kira-kira RM4,000 setiap hari untuk membeli bahan mentah dan barang keperluan menyediakan juadah berbuka dengan menu berlainan setiap hari dan dana yang digunakan adalah daripada sumbangan derma warga Kampus Kesihatan USM,” ujarnya.

Menurut Amira, gotong royong memasak juadah ini merupakan aktiviti tahunan Pusat Islam Kampus Kesihatan sejak dari tahun 2000 diharap dapat meringankan beban para pelajar yang berhadapan kesukaran untuk keluar membeli juadah berbuka puasa ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di Negeri Kelantan sekarang ini.

kesihatan_1.jpg

“Kami juga mengamalkan kelestarian dengan menjual semula minyak masak yang telah digunakan dan semua sisa makanan akan diasingkan untuk dijadikan baja kompos,” jelasnya lagi.

Tambah Amira, Pusat Islam Kampus Kesihatan sangat mengalu-alukan warga kampus dan masyarakat setempat yang ingin menyalurkan sumbangan bagi meneruskan beberapa aktiviti sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

“Sumbangan boleh disalurkan secara terus ke Tabung Aktiviti Ihya’ Ramadan Kampus Kesihatan melalui nombor akaun berikut: 0301-000-336-7711 (Bank Muamalat).

“Semoga usaha murni semua pihak dalam membantu merealisasikan aktiviti ini mendapat ganjaran yang sewajarnya dari Allah SWT,” katanya.

kesihatan_2.jpg

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 600

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024