USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PULANG CUTI BERAYA: KPPT KPT ADAKAN SESI TAKLIMAT BERSAMA PELAJAR USM

USM PULAU PINANG, 1 Mei 2021 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini bertuah apabila menerima kunjungan rasmi dari Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar dan delegasinya di Dewan Tuanku Syed Putra, USM.

WhatsApp_Image_2021-05-01_at_17.06.30_1.jpeg

Kehadiran beliau adalah untuk satu Sesi Taklimat bersama Pelajar USM menjurus pengumuman rasmi daripada Menteri Pengajian Tinggi pada 29 April 2021 lalu berkaitan pergerakan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dibenarkan pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan Aidilfitri 2021.

Menurut Husaini, permohonan berkaitan pelajar pulang sempena Aidilfitri ini telah direncanakan oleh KPT sejak awal Ramadhan dan telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) beberapa hari lalu setelah melalui proses-proses berkaitan yang sewajarnya.

“Surat kebenaran pulang dan kembali untuk tujuan rentas daerah/negeri akan disediakan oleh pihak IPT terbabit,” katanya dalam sesi taklimat sulung di USM.

Husaini juga menegaskan kepada semua pelajar yang ingin pulang yang melibatkan 6 kategori seperti yang dinyatakan dalam makluman KPT agar jujur dan mematuhi segala SOP dalam membendung sebarang penularan wabak pandemik COVID-19.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, KPT, Dr. Mohd Suzeren Md. Jamil yang turut bertaklimat bersama Husaini menyatakan bahawa pelajar diberikan pilihan untuk pulang ataupun untuk kekal di kampus.

WhatsApp_Image_2021-05-01_at_17.06.57.jpg

 “Tarikh pulang yang ditetapkan adalah secara berfasa mulai pada 7 Mei hingga 12 Mei 2021 manakala tarikh kembali semula pula ditetapkan pada 15 Mei hingga 20 Mei 2021.

“Ini penting untuk memastikan pergerakan di lebuhraya adalah terkawal dan tidak dijalankan secara serentak bagi mengurangkan kesesakan lalulintas.

“Antara kaedah yang dibenarkan adalah kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa/penjaga (kenderaan persendirian) ataupun bas yang disediakan oleh pihak USM mengikut jadual yang diberikan. Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan,” tambahnya.

Tambahnya, pelajar yang memohon untuk pulang perlu melalui proses saringan kesihatan ketika kembali semula ke kampus universiti terbabit dan tertakluk pada universiti untuk melaksanakan proses pengasingan pelajar merujuk SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak KPT.

Pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan di portal KPT www.mohe.gov.my ataupun boleh menghubungi pegawai KPT dan bilik gerakan universiti untuk maklumat lanjut.

WhatsApp_Image_2021-05-01_at_17.06.30_2.jpeg

Turut hadir ke sesi ini adalah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan USM; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Mohd Amir Asyraf Sabri serta lebih 500 pelajar berkeperluan yang kini berada di kampus.

WhatsApp_Image_2021-05-01_at_17.06.30_4.jpeg

Delegasi KPT itu kemudiannya turut menghadiri majlis Iftar bersama-sama pelajar dan warga kampus di Masjid Al-Malik Khalid USM.

Sebagai rekod, pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam (6) kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1851

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024