IKON OKU USM ANTARA 28 IKON PENTING NEGARA
PULAU PINANG, 27 April 2021 – Ikon Orang Kelainan Upaya (OKU) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Noor menjadi antara 28 ikon penting negara apabila kisah kejayaan beliau diterbitkan bersama ikon lain dalam buku Tiada Yang Mustahil.
Pelancaran buku tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Kuala Lumpur hari ini.
Penerbitan ini adalah bagi menzahirkan rasa prihatin dan komited dalam kelangsungan golongan OKU terutama ketika mendepani pandemik COVID-19 dijaga serta memastikan tiada OKU ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Buku tersebut diterbitkan bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Institut Sosial Malaysia (ISM), dan ditulis dan disusun oleh empat orang penulis iaitu Syahrizal Abdul Rahim, Norailis Ab. Wahab, Noorhafiza Ahmad dan Siti Marian Sageh.
Mohamad Muzammil adalah pensyarah kanan dalam bidang Sejarah dan Pengajian Tamadun di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM dan telah dinobatkan pelbagai gelaran termasuk Bintang Cemerlang Negeri oleh TYT Pulau Pinang, Ikon Istimewa Kebangsaan, Ikon Merdeka serta menjadi sukarelawan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Naib Canselor USM, Profesor Dr. Rafiq Faisal Mahamd Adikan dan Dekan PPPJJ, Profesor Dr. Zoraini Wati Abas turut menitipkan ucapan tahniah kepada Mohamad Muzammil atas pemilihan tersebut dan mengharumkan nama negara di peringkat kebangsaan.
Antara ikon lain yang diterbitkan di dalam buku tersebut ialah Senator Datuk Ras Adiba Radzi, atlet paralimpik, usahawan dan ramai lagi.
Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Koleksi Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Noor
- Created on .
- Hits: 1678