USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PHS TERAJUI PROGRAM “JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT"

USM PULAU PINANG, 23 April 2021 - Bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada tarikh 23 April setiap tahun, Perpustakaan Hamzah Sendut (PHS) Universiti Sains Malaysia (USM) turut tidak ketinggalan menganjurkan program “Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit” yang diadakan secara serentak di seluruh negara pada jam 11.00 sehingga 11.10 pagi, 22 April 2021.

thumbnail_image001_1.jpg

Program ini merupakan satu daripada aktiviti utama gerakan Dekad Membaca Kebangsaan 2020-2030 dengan slogan #MalaysiaMembaca yang bertujuan mendorong rakyat Malaysia untuk membaca, dimulai dengan langkah awal selama 10 minit sebagai tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan harian.

Pada tarikh dan tempoh yang ditetapkan itu, semua warga kampus, biarpun di mana mereka berada, digalakkan untuk bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia, berhenti sebentar daripada melakukan apa-apa jua aktiviti dan luangkan masa membaca apa-apa juga bahan bacaan selama 10 minit. 

Selain itu, program ini juga menyokong pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020, dengan tema ‘Caring Through Reading’.

Menurut Ketua Pustakawan USM, Rugayah Ali, program ini diharap dapat menerapkan nilai dan budaya cinta akan buku dan cinta akan ilmu dalam kalangan segenap lapisan warga USM.

“Berdasarkan laporan World’s Most Literate Nation yang dikeluarkan oleh Central Connecticut State University, Amerika Syarikat, negara kita Malaysia berada pada kedudukan ke-53 dalam senarai negara membaca.

“Maka itu, seharusnya usaha ini diangkat sebagai agenda penting dalam pembangunan negara dan perlu diberi keutamaan dalam usaha mentransformasikan pemikiran rakyat supaya cinta akan buku dan sebati dengan budaya membaca seterusnya menjadikan tabiat membaca sebagai satu amalan hidup bagi melahirkan masyarakat berilmu,“ katanya.

Tambahnya lagi, dalam suasana negara (dan dunia) berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19, kita disaran untuk tidak keluar rumah kecuali jika ada urusan penting sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka manfaatkan masa berada di rumah/desasiswa dengan membaca demi menimba ilmu dan mengisi waktu ketika berisolasi di rumah/desasiswa.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1853

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024