USM ANTARA 50 IPT TERBAIK DUNIA LAKSANA AMALAN KELESTARIAN
PULAU PINANG, 22 April 2021 - Universiti Sains Malaysia (USM) telah terpilih menduduki tempat ke-39 dalam penarafan/ranking impak global Times Higher Education (THE) 2021.
Ini berdasarkan pengumuman terbaharu oleh badan berkenaan yang dikeluarkan kelmarin membabitkan lebih 1,200 institusi di 98 negara dan rantau di seluruh pelusuk dunia.
Kedudukan tersebut merupakan yang tertinggi di antara kesemua institusi pengajian tinggi negara ini, setelah melonjak dari kedudukan #65 pada tahun sebelumnya.
Pencapaian terbaru ini semakin mengukuhkan kedudukan USM sebagai antara institusi terbaik dunia dalam menyelesaikan cabaran globalisasi berkaitan kemanusiaan.
Antara universiti terkenal lain yang tersenarai dalam ranking yang baru dikeluarkan itu adalah King Abdulaziz University, Arab Saudi (#46); Trinity College Dublin, Republik Ireland (#57); University of Liverpool, United Kingdom (#72); Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat (#76); dan Deakin University, Australia (#79).
Di peringkat ASEAN pula, USM secara keseluruhannya menduduki tangga ke-2 (di belakang Chulalongkorn University, Thailand, #23), sementara di Asia USM berada di kedudukan #5.
Selain berada di kedudukan 50 teratas dalam ranking keseluruhan, USM juga menunjukkan prestasi yang membanggakan iaitu ditempatkan di kedudukan #8 di dunia untuk SDG16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh).
Dari segi SDG individu, USM juga merupakan universiti dengan kedudukan tertinggi di Malaysia dalam SDG berikut: SDG 1 (Tiada Kemiskinan) - #21; SDG 2 (Kelaparan Sifar) - #29; SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik) - terikat #40; SDG 7 (Tenaga yang Berpatutan dan Bersih) - #50; SDG 14 (Kehidupan Di Bawah Air) - #58.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menggariskan 17 SDG (Matlamat Pembangunan Mampan) demi memastikan penerapan pelbagai usaha ke arah menjamin kelestarian alam sekitar dan seisinya.
Ini adalah tahun ketiga berturut-turut USM menyertai Ranking Impak THE, yang menilai pelbagai usaha berkaitan kelestarian yang dilakukan oleh universiti di seluruh dunia berdasarkan 17 SDG tersebut.
University of Manchester, UK berada di kedudukan #1 dalam kedudukan keseluruhan, sementara kedudukan 10 teratas dikuasai oleh universiti dari Australia.
- Created on .
- Hits: 768