PPDK@USM KAMPUS KESIHATAN PENCETUS TRANSFORMASI OKU DI KELANTAN
PPDK@USM menjadi pemangkin kepada USM untuk menjadi pemimpin dalam pemerkasaan OKU di Malaysia.
PULAU PINANG, 15 April 2021 - Dalam usaha mencetus dan seterusnya memperkasa transformasi golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri Kelantan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan melalui Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dengan sokongan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) telah mewujudkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
PPDK@Kampus Kesihatan mendapat suntikan dana sebanyak RM50,000 melalui pihak BJIM USM pada awal tahun ini sebagai salah satu inisiatif baharu 2021 universiti di bawah kategori Pengurusan Bakat dan Kesejahteraan Warga USM.
Program Pemulihan Dalam Komuniti (Community Based Rehabilitation) diperkenallkan oleh World Health Organisation (WHO) pada tahun 1980-an dan kemudiannya diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1984.
USM ialah institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang menubuhkan PPDK di dalam kampus iaitu pada tahun 2014.
Menurut Pengerusi PPDK@USM Kampus Kesihatan, Profesor Madya Dr. Mohamed Saat Ismail, PPSK mengambil inisiatif menubuhkan PPDK sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kepada anak-anak istimewa kakitangan USM serta kepada masyarakat berdekatan kampus USM.
“PPDK ditubuhkan berasaskan kepakaran Terapi Carakerja (Occupational Therapy) dengan sokongan pelbagai bidang kepakaran lain yang ada di PPSK, termasuk kepakaran Sains Senaman dan Sukan.
“Terapi Carakerja adalah bidang kepakaran yang terlatih bagi membantu OKU untuk hidup berdikari walaupun mereka mengalami kecacatan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya lagi, kepakaran Terapi Carakerja di PPSK telah menggunakan platform PPDK sebagai kaedah untuk menyediakan program bagi memperkasa golongan OKU.
PPSK menggunakan ‘Transformasi OKU’ sebagai tema dalam penyediaan program-program pemerkasaan OKU, iaitu usaha memperkasa dan menukar status OKU dari status ‘liability’ kepada ‘productivity’, iaitu menjadikan golongan OKU sumber manusia kepada negara.
Menurut Mohamed Saat, PPSK menggunakan platform PPDK USM Kampus Kesihatan untuk memperkenalkan pelbagai program transformasi OKU, yang terbuka kepada komuniti luar mahupun dalam universiti.
“Misalnya, Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek atau dikenali sebagai Vocational Training (VT@USM) dan program pertanian komersial OKU adalah contoh program transformasi ekonomi yang dijalankan di PPDK Kubang Kerian.
“Penubuhan PPDK dan penganjuran program-program transformasi telah membina kepercayaan dan keyakinan PPSK untuk menubuhkan pula Unit Transformasi OKU,” katanya.
Dalam sesi temubual melalui emel bersama Ketua Unit Transformasi OKU, PPSK USM, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim, beliau berkata hasil daripada latihan pekerjaan OKU Intelek yang dijalankan di PPDK@USM, seramai 70 orang OKU masalah pembelajaran telah berjaya mengubah hidup dengan mendapat pekerjaan tetap.
“Melalui program PDK dan program Transformasi OKU yang dilaksanakan, pelatih OKU dan keluarga menerima impak secara langsung yang mana kehidupan mereka berubah dan mereka mampu berdikari,” katanya.
Zulkifli juga menyatakan bahawa kewujudan PPDK di USM telah meningkatkan imej universiti di mata masyarakat setempat.
“Malah USM mendapat kepercayaan dari Majlis Agama Islam dan Istiadat Kelantan (MAIK), yang telah meluluskan geran berjumlah RM900,000 bagi mewujudkan Pusat Sehenti OKU USM-MAIK, yang dibina di hadapan PPSK.
“Pusat Sehenti OKU ini akan berfungsi sebagai pusat khidmat program-program transformasi OKU serta menjadi tempat pertemuan kerjasama pelbagai agensi berkaitan OKU, sekaligus menjadi pemangkin kepada perkhidmatan, pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang OKU di USM,” ujarnya.
“USM juga mendapat kepercayaan dari pihak Kerajaan Negeri Kelantan melalui MoU kerjasama yang dijalinkan pada Oktober 2020 yang lalu.
“Pada tahun 2020 juga, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Putrajaya juga telah meluluskan geran sebanyak RM408,640 bagi menubuhkan Taska Auliya OKU,” kata Zulkifli, yang amat bersyukur kerana ternyata terdapat impak secara langsung kepada universiti melalui penubuhan PPDK di USM Kampus Kesihatan.
Selain itu, jelas Mohamed Saat, “PPDK@USM kerap menerima lawatan dari pelbagai universiti bagi melihat sendiri program yang dijalankan di PPDK@USM, seperti rombongan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“PPDK@USM juga sentiasa menerima pelawat dari PPDK seluruh negara, termasuk dari Selangor, Terengganu serta Perlis. Ini membuktikan PPDK@USM Kampus Kesihatan memberi impak yang besar dan menjadi rujukan kepada PPDK lain di seluruh negara.
Tambah beliau lagi, keupayaan pelatih-pelatih OKU dapat dipertingkatkan dengan lebih cepat jika mereka melibatkan diri dalam banyak program dan mereka perlu diberikan peluang sebanyak yang mungkin.
“Dengan peruntukan belanjawan 2021, PPDK@USM Kampus Kesihatan bercadang untuk menaiktaraf dan memperkenalkan beberapa inisiatif baru demi memberi lebih banyak peluang penglibatan kepada pelatih OKU.
“Antaranya adalah menaik taraf Program Pertanian Komersial untuk meningkatkan hasil projek tanaman cendawan, dan bekerjasama dengan FAMA untuk projek jualan produk pertanian dan buah-buahan.
“Projek jualan tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada pelatih OKU untuk berinteraksi dengan masyarakat sekeliling,” katanya.
Tambah beliau, kaedah ini mampu meningkatkan keyakinan diri mereka di samping membina kemahiran perniagaan mereka. Antara projek baru yang akan diusahakan adalah projek tanah campuran dan penternakan.
Menurut Zulkifli lagi, yang penting ialah keberkesanan daripada projek dan program yang dianjurkan oleh PPDK@USM telah berjaya membantu pelatih-pelatih OKU untuk membina keupayaan dan membolehkan OKU Intelek mendapat pekerjaan tetap.
Selain itu, Program Modifikasi Kerusi Roda juga ditubuhkan hasil daripada inisiatif Bahagian Jaringan dan Industri Masyarakat (BJIM).
Program ini telah memberi manfaat kepada masyarakat OKU yang berkerusi roda dan akan dimulakan di luar USM pula tidak lama lagi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan.
Melalui Unit Transformasi OKU, pelbagai kaedah telah diperkenalkan oleh PPDK@USM untuk membantu pelatih-pelatih OKU.
Kaedah yang dilaksanakan telah memberi manfaat kepada kakitangan yang mempunyai anak-anak istimewa dan akan menjadi mercu tanda dan pemangkin kepada imej USM sebagai sebuah universiti yang prihatin dan mementingkan kebajikan golongan OKU.
PPDK@USM akan membuka lebih banyak peluang penyelidikan, jaringan kerjasama masyarakat dan peluang pembiayaan dari agensi-agensi yang berkenaan.
Ternyata PPDK@USM menjadi pemangkin kepada USM untuk menjadi pemimpin dalam pemerkasaan OKU di Malaysia.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi & Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim/Foto: Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1495