USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELBAGAI AKTIVITI MENGIMARAHKAN MASJID Al-MALIK KHALID SEPANJANG BULAN RAMADHAN

PULAU PINANG, 14 April 2021 – Bulan Ramadhan Al-Mubarak kembali lagi di tahun 2021 bersamaan 1442 Hijrah dengan pelbagai aktiviti menarik disajikan oleh Pusat Islam bagi mengimarahkan Masjid A-Malik Khalid USM.

Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik disediakan oleh Ahli Jawatankuasa Ramadhan 1442H untuk disertai beramai-ramai oleh warga kampus dan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadhan ini.

Antara aktiviti yang ditunggu-tunggu saban tahun oleh orang ramai adalah Iftar Jama'ie dengan pelbagai juadah hidangan menyelerakan dan Solat Sunat Tarawih sebagai aktiviti kerohanian di malam hari.

WhatsApp_Image_2021-04-13_at_18.11.03_1.jpeg

WhatsApp_Image_2021-04-15_at_22.36.49.jpeg

Manakala Tadarus dan kuliah secara dalam talian serta kuliah selepas solat Zohor turut diadakan setiap hari sebagai pengisian bermanfaat, seterusnya akan diadakan qiyamullail dan sahur pada 15 malam terakhir Ramadhan.

Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman berkata, beliau amat mengalu-alukan kehadiran warga kampus mahupun orang ramai untuk melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang disediakan khas sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.

“Saya menyeru kehadiran orang ramai untuk memenuhi masjid bagi merebut peluang hadir ke aktiviti Ramadhan yang disajikan, termasuk juga dengan aktiviti kesukarelawanan sekiranya lapang bagi membantu menyiapkan segala aspek keperluan terutamanya persiapan iftar pada waktu pagi,” katanya.

WhatsApp_Image_2021-04-13_at_18.11.03_2.jpg

Tambah beliau lagi, Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan 2021/1442HPeringkat USM telah menyediakan satu medan Infaq di Bulan Ramadhan iaitu dengan mendirikan satu khemah sebagai tempat pengumpulan sumbangan bahan mentah oleh orang ramai bagi aktiviti jamuan berbuka puasa.

“Khemah Infaq Ramadhan: "One Stop Centre" didirikan di Pusat Islam USM (Induk) sepanjang tempoh Ramadhan untuk memudahkan sesiapa yang ingin menyumbang barangan mentah.

“Kehadiran pelajar termasuk masyarakat setempat untuk jamuan berbuka puasa setiap petang dianggarkan seramai 1,800 hingga 2,000 orang. Kos jamuan berbuka puasa pula untuk setiap petang pada tahun ini dianggarkan sebanyak RM6,000.00. Jadi, sesiapa yang ingin bersedekah bagi tujuan tersebut, bolehlah menyalurkan sumbangan di khemah Infaq Ramadhan yang disediakan,” jelas beliau lagi.

WhatsApp_Image_2021-03-18_at_14.10.37.jpeg

Tambah Mohammad Shukri, setiap aktiviti yang dijalankan yang membabitkan orang ramai di masjid terutamanya majlis berbuka puasa dan solat sunat tarawih sentiasa dipantau dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak pandemik COVID-19.

“Kita sedia maklum Pulau Pinang masih tertakluk dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan saya nasihatkan jemaah yang hadir untuk sentiasa patuh dan menjaga SOP yang ditetapkan oleh pihak Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan,” katanya.

Berikut merupakan susun atur Iftar Ramadhan serta SOP yang harus dipatuhi oleh semua orang ketika mengambil juadah berbuka:-

  • Memakai pelitup muka
  • Memastikan penjarakan 1 meter ketika beratur
  • Imbas suhu dan daftar MySejahtera
  • Mengambil makanan (bawa bekal makanan bagi yang ingin bawa pulang)
  • Mengambil minuman
  • Duduk di ruang makan yang disediakan (terhad kepada 600 orang sahaja)
  • Memastikan tempat makan dikemas dan sisa makanan dibuang di dalam tong sampah setelah selesai makan 
  • Memastikan pinggan dibasuh dan diletakkan pada rak yang telah disediakan.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi:

  1. Ustaz Zayd Zhari, Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan 1442H, No. h/p: +6013-4087001
  2. Ustaz Mohd Fakrur Amirul Mohd Rodzi, Setiausaha Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan 1442H, No. h/p: +6013-7444214
  3. Ustaz Nukman Ahmad Zakir, Bendahari Jawatankuasa Aktiviti Ramadhan 1442H, No. h/p: +6013-6282270

Berikut adalah nombor akaun bank untuk tabung-tabung Ramadhan di kesemua kampus di USM, bagi tujuan sumbangan ikhlas:

  1. USM KAMPUS INDUK, JAWATANKUASA AKTIVITI RAMADHAN: 0703-0000071-71-6  (BANK MUAMALAT)
  2. USM KAMPUS KEJURUTERAAN, JAWATANKUASA AKTIVITI RAMADHAN KAMPUS KEJURUTERAAN: 0801-0000820-71-1 (BANK MUAMALAT)
  3. USM KAMPUS KESIHATAN, TABUNG AKTIVITI IHYA’ RAMADHAN KAMPUS KESIHATAN: 0301-000-336-7711 (BANK MUAMALAT)
  4. INSTITUT PERUBATAN DAN PERGIGIAN TERMAJU (IPPT) USM, JAWATANKUASA IHYA RAMADHAN IPPT: 0704-0000718-71-8 (BANK MUAMALAT)

Sumber: Facebook Pusat Islam USM/Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan 

  • Created on .
  • Hits: 3571

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024