USM SEDIA RINTIS GAGASAN KOMUNITI ASEAN
PULAU PINANG, 16 Mei 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia untuk menggalas tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat membentuk gagasan Komuniti Asean khususnya di peringkat institusi penggajian tinggi (IPT).
Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Prof. Adnan Hussein berkata, gagasan Komuniti Asean memberi banyak manfaat kepada para pelajar IPT khasnya dalam memudahkan mobiliti pelajar merentasi sempadan Asean.
Katanya, dengan adanya gagasan tersebut, para pelajar akan dapat bergerak dari satu universiti ke universiti lain dan dari satu negara ke negara lain dalam komuniti Asean untuk bertukar-tukar pengalaman dan idea untuk pembangunan ilmu.
``Malaysia dilihat agak terkebelakang berbanding negara lain seperti Thailand dan Indonesia dalam merealisasikan perkara ini dan kita berharap selepas pembentukan kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri semalam, usaha ke arah menjayakan gagasan ini dapat dipercepatkan.
``USM bersedia untuk menggalas tanggungjawab untuk menjayakan perkara ini dan buat masa ini kita juga telah mula menyebar luas berkenaan manfaat gagasan tersebut dan gerak kerja yang boleh diambil untuk merealisasikannya,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Minggu IMPACT, satu acara tahunan Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) untuk memberi peluang kepada pelajar tahun akhir yang mengambil pakej asakan.
Pakej asakan adalah satu pakej unik yang melambangkan kelainan pada PPK USM yang menggabungkan elemen teori dan praktis dalam kursus yang diikuti pelajar meliputi tiga bidang pengkhususan utama iaitu pemujukan, kewartawanan serta filem dan penyiaran.
Mengulas kembali usaha gagasan tersebut, Malaysia ketika ini masih di peringkat perbincangan pihak kementerian dan sehingga kini tiada sebarang gerak kerja diperturunkan kepada mana-mana universiti.
Dalam majlis yang sama, USM turut melebarkan sayap kolaborasi apabila memeterai tiga lagi memorandum perjanjian (MOA) merangkumi Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA), Malaysian Association of Creativity & Innovation (MACRI) dan Universitas Sebelas Maret, Indonesia.
Ketiga-tiga MoA bertujuan memperkukuhkan lagi pencapaian PPK USM khasnya dalam memaksimumkan kebolehpasaran graduan Komunikasi, pembangunan latihan dan inovasi serta penambahbaikan mutu penyelidikan dan penerbitan kakitangan akademik PPK. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1671