KERJASAMA USM-THPH RANGKA PELAN STRATEGIK KEKAL KHAZANAH ALAM BUKIT BENDERA
BUKIT BENDERA, PULAU PINANG, 12 April 2021 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan The Habitat Penang Hill (THPH), Bukit Bendera, Pulau Pinang meneruskan rangka pelan strategik penyelidikan dan kelestarian memelihara khazanah alam di Bukit Bendera, sebagai salah satu usaha mengekalkan ekosistem dan kepelbagaian sumber alam yang dimiliki di kawasan terbabit.
Kerjasama dan persefahaman di antara kedua-dua pihak yang terjalin sejak penubuhan The Habitat Penang Hill pada tahun 2017 itu meletakkan harapan buat USM untuk membantu usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak The Habitat Penang Hill dalam mengekalkan setiap sumber kepelbagaian khazanah alam yang terdapat di Bukit Bendera.
Pada sesi lawatan kerja Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikanbaru-baru ini ke THPH, beliau berkata, USM amat mengalu-alukan sebarang bentuk kolaborasi pada masa akan datang bersama THPH bertujuan menjaga dan memelihara sumber habitat dan alam semulajadi di sini.
“Kerjasama di antara beberapa orang penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM yang diketuai oleh pensyarah kanan Dr. Nadine Ruppert banyak membantu mengaplikasikan pelbagai penyelidikan di THPH ini, dan diharap ianya dapat diteruskan supaya khazanah ini dapat dikekalkan seterusnya menyedarkan masyarakat luar agar kepentingan alam semulajadi dalam ekosistem kehidupan,” katanya.
Pada sesi lawatan yang sama, Nadine berkata, sesi lawatan Naib Canselor ke sini merupakan satu inisiatif yang baik supaya kedua-dua pihak mendapat gambaran dan perkembangan terkini sepenuhnya bagi beberapa kerjasama yang akan dilaksanakan kelak.
“Kesedaran pelbagai peringkat sehingga ke akar umbi amat penting bukan sahaja bagi para penyelidik dan pihak THPH, tetapi semua masyarakat keseluruhannya dalam usaha menghargai dan melestarikan alam sekitar melalui pelbagai program kesedaran peringkat tempatan mahupun antarabangsa mengenai apa yang dimiliki di Bukit Bendera ini,” jelas Nadine.
Yang turut hadir ke sesi lawatan tersebut adalah Pengasas The Habitat Penang Hill, Harry A. Cockrell; Dekan Institut Pengajian Siswazah, Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz; Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah; Pengarah Urusan The Habitat Penang Hill, Allen Tan dan Pengarah Urusan The Habitat Foundation, Justine Vaz.
The Habitat Penang Hill selain mempromosikan keunikan alam semulajadi yang dimiliki sebagai industri perlancongan di negeri Pulau Pinang, ia turut menyediakan kemudahan bagi pelbagai aktiviti pendidikan dan penyelidikan buat masyarakat luar di sekitarnya.
Selain merupakan pusat tawaran berwawasan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mencalonkan hutan Bukit Bendera dan kawasan-kawasan terlindung bersebelahannya sebagai UNESCO Man and the Biosphere Reserve, The Habitat Foundation dan The Habitat Penang Hill turut memberikan dana dan sokongan logistik kepada Penang Hill BioBlitz 2017 yang diadakan pada bulan Oktober 2017 yang melibatkan 117 saintis dan penyelidik tempatan dan antarabangsa.
Yayasan ini juga turut membiayai penglibatan masyarakat dan kepakaran penyelidikan bagi melestarikan alam semulajadi dan salah satunya melalui penglibatan tenaga pakar dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM.
Kolaborasi USM-THPH Buka Peluang Graduan Ijazah Pertama Lanjut Pengajian Peringkat Sarjana dalam bidang "The Habitat Foundation Masters Scholarship for Bioacoustics Research on Penang Hill"
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1229