USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, KPN BEKERJASAMA BANGUNKAN DUA PELAN PERPADUAN NEGARA

USM PULAU PINANG, 9 April 2021 - Dalam usahanya menjadi institusi yang mengembangkan perpaduan negara, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Kedua-dua MoU tersebut yang diterajui oleh Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) adalah berlandaskan objektif utama iaitu Pembangunan Pelan Merakyatkan Perpaduan - Karib Aksesibiliti Majmuk Inklusiviti (KAMI) dan Pemerkasaan Pelan Tindakan Pembangunan Masyarakat India.

Menandatangani bagi pihak USM ialah Naib Canselornya, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Dekan PPSK, Profesor Dr. Azlinda Azman manakala pihak KPN diwakili Ketua Setiausahanya Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan Timbalannya, Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim.

WhatsApp_Image_2021-04-09_at_17.05.45.jpeg

Majlis menjadi lebih istimewa dengan kehadiran Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, dengan kedua-duannya menjadi saksi kepada majlis penandatanganan berkenaan.

WhatsApp_Image_2021-04-12_at_07.32.15.jpg

Menurut Halimah, menerusi MoU ini diharap dapat membentuk kerjasama lebih erat antara kementeriannya dan USM dalam merangka pelan perpaduan negara.

Katanya lagi, menjadi aspirasi KPN dalam membantu mana-mana institusi yang mahu menjadikan perpaduan di negara ini lebih utuh dengan percambahan idea serta pelan tindakan yang dirangka.

Sementara itu, Faisal Rafiq ketika berucap pada majlis tersebut berkata, kedua-dua pelan tersebutyang menjadi tunjang kepada MoU ini dijangkakan dapat mendokong tiga aspirasi utama perpaduan negara, iaitu membina rakyat yang patriotik dan demokratik, membentuk identiti nasional dan memperkukuhkan ekosistem perpaduan.

Katanya, Malaysia merupakan negara yang rencam budaya dan lanskap yang sama dapat dilihat di USM yang mana mahasiswanya terdiri daripada pelbagai etnik dan latar belakang yang berbeza.

USM sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran semasa yang menggalakkan integrasi mahasiswa pelbagai etnik, antaranya ialah persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, kemudahan asas yang lengkap bagi keperluan mahasiswa, kemudahan kewangan yang dapat membantu meringankan beban mahasiswa dan juga aktiviti ko-kurikulum yang merangkumi pelbagai aktiviti badan beruniform, budaya dan sukan.  

“Di samping itu, Sekretariat Rukun Negara (SRN) di USM yang seramai 100 orang (40 EXCO dan 60 ahli) juga menjadi platform kepada mahasiswa dalam usaha untuk menerapkan pemahaman dan perpaduan tentang Rukun Negara menerusi program yang dianjurkan.

WhatsApp_Image_2021-04-12_at_23.38.45.jpeg

“Program seperti Lingkaran Muhibbah Orang Asli, Program Eksplorasi Sukan Rakyat dan Perkampungan Sinar Perpaduan adalah antara inisiatif SRN USM sebagai penggerak ke arah memperkukuhkan integrasi nasional dalam kalangan mahasiswa di USM,” tambah beliau.

Faisal Rafiq yakin pembangunan dan pemerkasaan pelan perpaduan yang diterajui oleh USM dengan sokongan ampuh daripada KPN itu dapat memberikan sumbangan kepada dasar kerajaan dan pengimplementasian sistem penyampaian dengan jayanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker; Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM; Ketua Penyelidik dari PPSK USM yang juga penganalisis politik yang tidak asing lagiProfesor Dr. Sivamurugan Pandian; serta barisan pegawai utama kementerian dan USM.

Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 689

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024