AGRO VILLAGE USM: NIKMATI KEHIJAUAN DENGAN HARGA YANG LEBIH MURAH BERBANDING DI LUAR
PULAU PINANG, 5 April 2021 - Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA) Universiti Sains Malaysia (USM) telah membuka tapak semaian ‘Agro Village’ di kampus induk USM pada 18 Mac 2021 yang lalu.
Agro Village ini adalah projek perintis dibawah seliaan Pejabat Timbalan Naib Canselor Bahagian Kelestarian dan Pembangunan Institusi (KPI) dan diketuai oleh Ketua Jurutera, Bahagian Penyenggaraan, Pembaikan, Baikpulih dan Kelestarian Kampus, JPPA, Mohd Noor Naina Mohamed.
Menurut Timbalan Naib Canselor KPI, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim, objektif utama pelaksanaan projek Agro Village ini adalah ke arah penjanaan pendapatan seterusnya membantu staf dalam kalangan B40.
“Agro Village mempunyai keunikan tersendiri yang mana ia memberi tumpuan kepada penjualan tanaman seperti herba dan pokok hiasan. Terdapat 43 jenis spesies pokok ditanam di Agro Village untuk Fasa 1 ini.
“Tambahan pula, harga yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran di luar, iaitu sekitar 20 hingga 25 peratus lebih murah,” katanya.
Menurut Mohd Noor pula, pihaknya mensasarkan penjanaan kewangan sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 sebulan untuk enam bulan ke hadapan.
“Tujuan pelaksanaan projek pokok ini bukanlah untuk keuntungan semata-mata. Sebahagian keuntungan yang diperoleh akan dipulangkan semula kepada pekerja-pekerja dalam kalangan B40 pada setiap bulan. Tambahan pula, pelaksanaan Agro Village ini tidak menggunakan peruntukan universiti,” jelasnya.
Projek itu juga diharap dapat membantu meningkatkan kemahiran para pekerja seperti menyemai benih pokok, mengubah anak pokok dan menanam pokok apabila mereka bersara nanti.
“Pada 17 Mac lalu, saya telah membuat hebahan melalui emel kepada semua staf di USM. Pada hari pertama pembukaan tapak ini telah mendapat sambutan yang begitu baik dan pelanggan datang setiap hari walaupun bukan pada hari jualan diadakan. Penjualan pokok ini selain kepada staf, ia juga dibuka kepada masyarakat luar,” kata Mohd Noor.
“Jika pelanggan datang pada hari jualan diadakan, pelanggan tersebut akan dilayan serta diberi penerangan berkaitan kebaikan pokok herba, di samping akan ada staf yang menunggu di kaunter pembayaran. Selain dari hari jualan, staf berkenaan akan ditugaskan melakukan kerja seperti membaja pokok dan kerja-kerja lain yang berkaitan,” tambahnya lagi.
“Sasaran seterusnya adalah untuk menjalankan jualan baja, tanah dan membuat kursus cara penanaman pokok. Tambahan pula, Agro Village sedang membuat persediaan dari segi pokok-pokok yang akan dijual pada hari Konvokesyen nanti.
Untuk tujuan ini, banyak pokok hiasan dan herba yang akan diambil dari Cameron Highlands,” katanya mengakhiri sesi temubual ringkas ini.
Agro Village yang berlokasi di Nurseri H37, berdekatan Desasiswa Cahaya Permai, dibuka dua hari dalam setiap minggu iaitu pada hari Rabu dan Khamis, dengan waktu operasi penjualan pokok bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi.
Warga kampus dialu-alukan untuk berkunjung ke daya tarikan terkini kampus induk USM itu, dan memberi sokongan dengan membeli tanaman pokok hiasan dan herba yang dijual di sana.
Teks: Thigambarishini a/p Gobi & Qarratu Aini binti Othman/Foto: Qarratu Aini binti Othman (pelajar latihan praktikal MPRC)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 1206