USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

POCKET PARK@USM TONJOLKAN KONSEP KEHIJAUAN ALAM SEKITAR

**Amalan Kelestarian** 

PULAU PINANG, 5 April 2021 - Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan Program “Pocket Park@USM” iaitu usaha membangunkan taman yang dipenuhi pokok-pokok khusus sebagai usaha untuk terus melestarikan kampus dengan konsep kehijauan alam sekitar.

Program ini dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim sempena Bulan Kelestarian USM yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) yang bertemakan “Amalan Kelestarian Tanggungjawab Bersama” beserta slogan “Saya Sayang USM”.

WhatsApp_Image_2021-04-08_at_07.22.01.jpeg

Md. Roslan dalam ucapan perasmiannya berkata, program ini sangat bermakna dan membawa impak yang tinggi dalam melestarikan bumi terutamanya di dalam kampus USM.

“Saya difahamkan bahawa konsep ‘Pocket Park’ ini sangat menarik, iaitu kawasan ini akan menjadi satu taman atau ‘park’ yang dikelilingi oleh pokok-pokok yang menghijau dan kerusi-kerusi untuk bersantai dan beristirehat.

“Semua warga USM, baik pelajar mahupun staf akan dapat menikmati tempat ini sebagai kawasan untuk beriadah dan berinteraksi secara berkumpulan,” katanya.

Pada majlis perasmian itu, Md Roslan turut menanam pokok di tapak yang telah tersedia di lokasi “Pocket Park@USM sebagai aktiviti simbolik menyempurnakan upacara perasmian.

Menurut beliau, aktiviti ini akan membawa banyak faedah kepada alam sekitar, antaranya dapat menurunkan suhu persekitaran dan membantu meningkatkan kualiti hidup dalam kampus selain menyerap karbon dioksida (CO2) di persekitaran USM.

“Saya mewakili USM merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan dan menjadikan program ini sangat bermakna untuk generasi masa kini dan akan datang.

“Syabas dan tahniah kepada Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA) kerana menyediakan kawasan yang cantik dan indah ini untuk dimanfaatkan di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPPA USM, Ir. Mohd Nizam Razak berkata, kawasan seluas 63x25 meter atau 17,000 kaki persegi itu nanti akan dipenuhi dengan pokok balak jenis Hopea odorata atau pokok merawan siput jantan, iaitu sejenis spesis cengal.

“Konsepnya pokok-pokok akan ditanam dalam bentuk grid, dan juga infrastruktur lain dari segi lampu dan sebagainya sudah dirancang untuk masa akan datang.

“Projek ini amatlah istimewa, kerana dalam perancangan akan ditanam pokok balak, jumlahnya ialah sebanyak 80-90 pokok dan akan disesuaikan mengikut keperluan,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah CGSS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Utama Bulan Kelestarian USM 2021, Prof. Madya Dr. Saidatulakmal Mohd; pegawai-pegawai utama Universiti dan hadirin lain yang dijemput.

10.jpg

 Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Shahnizam Ab Rahim 

  • Created on .
  • Hits: 680

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024