USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTANDINGAN DeSTI 3.0 DALAM TALIAN: 24 SEKOLAH SELURUH MALAYSIA TURUT SERTA

PULAU PINANG, 6 April 2021 – Pertandingan Debat Sains, Teknologi dan Inovasi (DeSTI 3.0) Piala Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) antara Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 berlangsung dengan jayanya secara dalam talian bermula 1 hingga 4 April 2021 lalu.

Pertandingan debat anjuran Kelab Debat dan Pengucapan Awam (KDPA) Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan secara dalam talian iaitu melalui platform “Streamyard” dan “Google Meet” menerima penyertaan 24 buah sekolah dari seluruh Malaysia.

WhatsApp_Image_2021-04-08_at_07.17.58.jpeg

Peringkat akhir pertandingan itu disiarkan secara langsung di laman Facebook ‘Pertandingan Debat Sains, Teknologi dan Inovasi’.

Majlis turut dijalankan secara semuka melibatkan penjurian para hakim di Dewan Pembangunan Siswa (DPS 1) Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA) USM.

Timbalan Naib Canselor Kelestarian Dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada KDPA USM atas penganjuran pertandingan itu.

Menurutnya, pihak universiti turut berterima kasih atas sumbangan dana yang diberikan pihak MOSTI terutamanya, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim.

“Kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri dan wakil-wakil MOSTI, terima kasih sekali lagi atas kesudian menyokong program ini yang masuk ke tahun ketiga penganjurannya.

“Besarlah harapan saya agar kerjasama dengan pihak MOSTI akan terus terjalin erat dan pertandingan kekal lestari dan diperkasakan di masa-masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Penasihat KDPA USM yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Dr. Zarul Fitri Zaaba berkata, sumbangan dana sebanyak RM21,800 daripada MOSTI melalui Timbalan Menteri amat membantu dalam menjayakan pertandingan kali ini.

Katanya, elemen sains yang diterapkan dalam pertandingan ini membuatkan MOSTI tertarik untuk bersama-sama membantu sekaligus menjadikan pertandingan kali ini berjaya dijalankan.

Selain itu, pengarah projek DeSTI 3.0, saudara Muhamad Hafizi Mohd Hanafi yang merupakan pelajar tahun 2 USM turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan KDPA menganjurkan pertandingan ini.

Dalam rakaman ucapan beliau semasa majlis penutupan, saudara Hafizi Hanafi mengungkapkan jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

“Alhamdulillah, berkat niat murni, usaha gigih serta kerja keras semua pihak yang terlibat, program DeSTI 3.0 dapat dilangsungkan dengan jayanya.”

“Kepada rakan-rakan sekretariat, terima kasih saya ucapkan atas komitmen yang kalian berikan. Kalianlah, tulang belakang yang menguatkan pasukan kita untuk terus bersemangat dan bersungguh-sungguh bagi menjayakan pertandingan ini. Tahniah dan syabas, anda, saya dan kita semua merupakan mahasiswa yang H.E.B.A.T.,” katanya.

WhatsApp_Image_2021-04-08_at_07.17.58_1.jpeg

Pertandingan akhir dimenangi Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan dengan usul ‘Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan: Dayung Sudah Di Tangan, Perahu Sudah Di Air’ manakala pendebatnya Adam Danish diumumkan sebagai pendebat terbaik.

SDAR menewaskan Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur yang sekaligus diumumkan tempat kedua.

Sekolah Menengah Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Baru Bintulu (SEBARU), Sarawak pula berjaya memenangi Anugerah Liga Maya DeSTI 3.0 dengan jumlah terkumpul ‘likes’ tertinggi.

Manakala pendebat terbaik keseluruhan dirangkul oleh Muhammad Harith Suffian Khairil Akmal dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak.

Menurut Zarul Fitri, yang juga ketua hakim pertandingan, usul pertandingan akhir secara keseluruhannya berjaya dikupas dengan baik dan telah diberikan rona pengisian yang menarik untuk didebatkan.

“Kolerasi di antara dua perkara ini secara kolektifnya kami bersetuju dikupas dengan baik dan menarik sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang. Namun, pemahaman terhadap isu perlulah lebih mendalam dan terperinci supaya dewan yang bersidang akan lebih jelas dengan hujah dan bidasan yang dibawa”.

“Sesi perdebatan juga dirancakkan lagi dengan unsur kesungguhan kedua-dua pihak memberikan hujah dan bidasan balas kepada lawan masing-masing. Maknanya, peranan setiap pendebat mengikut posisi berjaya dimainkan dengan baik sekali,” ulas beliau.

Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1172

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024