USM UCAP TAHNIAH KABINET BAHARU DS NAJIB
Universiti Sains Malaysia (USM) mengalu-alukan Kabinet baharu Malaysia dan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang telah melantik barisan kabinet yang menggabungkan pelbagai pengalaman dan kepakaran untuk mengemudi negara dalam proses transformasi yang dilakukan.
Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman, USM juga mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik semula sebagai Timbalan Perdana Menteri serta sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi.
USM turut mengalu-alukan pelantikan Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II dalam Kabinet baharu Perdana Menteri yang diumumkan hari ini.
“Kami percaya gabungan Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi akan memberikan kesan positif dalam transformasi pengajian tinggi, sekaligus dalam mengurangkan apa jua jurang yang ada dalam proses kerja dan dasar yang ada,” kata Omar.
Omar turut mengalu-alukan penggabungan ini dan percaya tidak akan berlaku banyak masalah dalam menstrukturkan semula usaha yang dibuat selama ini.
USM berbangga kerana beberapa orang alumni USM berada dalam kabinet baharu ini untuk menyumbangkan tenaga dan pemikiran mereka, tambahnya lagi.
Dato’ Seri Idris Jusoh, yang dilantik sebagai Menteri II Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi merupakan seorang alumni USM yang secara berterusan memberikan sumbangan terutamanya dalam bentuk pendapat dan sokongan dalam pembangunan universiti ini.
Antara alumni USM lain yang berada dalam kabinet baharu ini ialah Datuk Abdul Rahim Bakri turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, yang kedua-duanya adalah pemimpin utama pelajar semasa mengikuti pengajian di sini. Turut dilantik semula ialah seorang lagi alumni USM, Senator Dato’ Seri Idris Jala.
Di samping itu, USM juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Abu Bakar Mohd. Diah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Beliau adalah bekas pensyarah Kejuruteraan USM sebelum kembali berkhidmat di Melaka.
“Kami yakin, kabinet baharu ini berupaya melonjakkan lagi prestasi dan keupayaan negara dalam menghadapi cabaran masa hadapan terutamanya dengan adanya tokoh-tokoh korporat dan teknokrat, ahli akademik dan mereka yang mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang dengan pengalaman yang luas untuk menunaikan aku janji kerajaan apatah lagi membawa negara mencapai negara maju,” kata Omar.
- Created on .
- Hits: 1862