KELESTARIAN KAMPUS ANTARA PERANCANGAN PENGARAH BAHARU
USM KUBANG KERIAN, 4 April 2021 – “Terima kasih kepada Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) kerana melantik saya sebagai Pengarah Kampus yang baharu, dan saya akan cuba buat yang terbaik untuk USM,” demikian ungkapan pertama yang dizahirkan oleh Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail usai majlis serah tugas yang diadakan secara ringkas pagi ini.
Bercakap tentang perancangan, beliau berkata, segala kerja yang telah dilaksanakan oleh mantan Pengarah Kampus, akan diteruskan serta ditambah dengan beberapa perancangan baharu yang akan digerakkan bersama-sama pengurusan kampus yang lain.
“Selain daripada itu, saya juga mempunyai beberapa agenda khusus untuk Kampus Kesihatan terutama berkaitan kelestarian kampus yang perlu digerakkan secara lebih proaktif dan menyeluruh dengan memperkenalkan ‘green initiatives’ misalnya penjagaan pokok sedia ada, penanaman pokok organik, lanskap, penggunaan tenaga solar dan lain-lain untuk menjadikan kampus ini sebuah kampus hijau yang lestari," ujarnya yang dilantik bagi tempoh 4 April hingga 31 Disember 2021.
Menurut Shaiful, beliau juga akan mempertingkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan staf dan pelajar di Kampus Kesihatan di samping interaksi di antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang besar contohnya Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA), Jabatan Bendahari, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan semua PTJ yang ada bagi memastikan semua berada pada satu landasan yang sama agar segala urusan dapat dijalankan dengan lebih baik selain bekerja sebagai satu pasukan yang besar dalam semangat muhibbah yang tinggi.
“Mengambil alih tampuk pentadbiran di saat pandemik COVID-19, saya akui ianya sedikit mencabar tetapi nampak perubahan yang lebih baik, bukan sahaja di negeri Kelantan malahan seluruh negara dan di Kampus Kesihatan sendiri.
"Walau bagaimanapun, saya mengharapkan agar seluruh warga kampus sentiasa patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)dalam semua urusan sama ada kerja rutin mahupun apa-apa aktiviti, supaya kita tidak menjadi punca wabak tersebut menular sehingga mewujudkan kluster di tempat kerja dan berusaha sebaik mungkin untuk melandaikan graf jangkitan," jelas Shaiful lagi.
Shaiful memulakan tugas secara rasminya hari ini sebagai Pengarah Kampus Kesihatan USM yang keempat, menggantikan Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim yang kini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan dan pentadbiran Hospital USM sebagai Pengarah Hospital USM.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 591