USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TAWAR INSENTIF BAGI PROGRAM LATIHAN INDUSTRI 2021

PULAU PINANG, 1 April 2021 - Universiti Sains Malaysia (USM) menawarkan insentif bagi program latihan Industri tahun 2021 kepada para pelajar yang tidak mendapat sebarang bayaran atau elaun di tempat latihan industri.

WhatsApp_Image_2021-04-05_at_07.18.21.jpg

Program khas Universiti itu diluluskan di bawah Projek/Inisiatif Strategik USM Tahun 2021 bagi Pembangunan Institusi dan Kesejahteraan Warga di bawah Kumpulan Wang Khas Tahun 2021 iaitu “2021 Student Internship Programme”.

Peruntukan sebanyak RM45,000 diagihkan kepada Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA).

Program berkenaan mensasarkan kuota seramai 300 pelajar tempatan dan luar negara USM yang menjalani latihan industri di agensi kerajaan dan swasta selama 15 hari bekerja dengan kadar bayaran RM10 sehari.

Dalam perkembangan lain yang berkaitan, pelajar yang bakal menjalani program latihan industri/praktikal pada tahun 2021 diseru untuk berbuat demikian dengan memohon kepada pusat pengajian/pusat kecemerlangan di ketiga-tiga kampus Induk, Kejuruteraan dan Kesihatan.

Ia bertujuan bagi membantu mereka dalam mendepani cabaran mendapatkan tempat latihan industri di luar kampus misalnya di syarikat-syarikat swasta atau kilang berikutan pandemik COVID-19 yang berleluasa.

Tambahan pula, melalui penempatan latihan industri di dalam kampus, ia sedikit sebanyak membantu meminimumkan risiko pelajar daripada terdedah kepada jangkitan COVID-19 apabila berada bersama pekerja-pekerja kilang/syarikat swasta di luar sana.

Dari aspek latihan praktikal pula, pelajar-pelajar dapat menimba ilmu, kemahiran hands on dan pengalaman berharga apabila mengikuti staf-staf pelaksana/pegawai /penyelidik/pensyarah untuk melakukan kerja lapangan termasuk yang rentas disiplin/bidang, sekaligus meningkatkan nilai kebolehpasaran mereka apabila masuk ke alam pekerjaan nanti.

Maka dengan adanya insentif tersebut, ia diharap membolehkan mereka mendapat sedikit pendapatan juga ketika menjalani latihan industri.

Pelajar-pelajar yang telah diterima untuk menjalani latihan industri/praktikal di pusat pengajian/pusat kecemerlangan boleh memohon melalui pusat pengajian/pusat kecemerlangan masing-masing, dan permohonan adalah dibuka sepanjang tahun.

Borang permohonan boleh diperolehi di laman web rasmi Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) di pautan hepa.usm.my.

Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop & Tan Ewe Hoe 

  • Created on .
  • Hits: 2221

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024