USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANTARA 20 UA JALIN KERJASAMA STRATEGIK KPT BANGUNKAN KONSORTIUM SUMBER ELEKTRONIK PENDIDIKAN TINGGI NEGARA

PUTRAJAYA, 2 April 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan 20 buah Universiti Awam (UA) bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membangunkan konsortium sumber elektronik pendidikan tinggi negara.

AP1T0740

Pemeteraian MoU itu bakal menyaksikan kolaborasi strategik melibatkan seluruh perpustakaan UA bersama KPT bagi menyediakan kemudahan pasaran digital ilmiah seterusnya menjadi rujukan utama digital pelajar, penyelidik dan karyawan mahu pun rujukan rakyat Malaysia dan komuniti global.

Majlis tersebut yang berlangsung kelmarin di sini disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang turut hadir menyaksikan penandatanganan MoU serentak 20 buah UA oleh barisan kepimpinan universiti terdiri daripada Naib Canselor dan Ketua Pustakawan sebagai saksi perjanjian.

Menurut Noraini, penubuhan konsortium sumber elektronik pendidikan tinggi ini merupakan satu iltizam dan testimoni kesungguhan serta komitmen warga pengajian tinggi ke arah menyokong ekosistem kewangan yang lestari kepada UA.

IMG 0062

“Fokus pembangunan konsortium ini adalah bagi membolehkan penjimatan dan keberkesanan kos langganan kepada sumber maklumat elektronik untuk jangka masa panjang,” kata beliau.

Jelas Noraini lagi, kolaborasi antara UA ini bakal mengukuhkan prasarana maklumat ilmiah dalam format digital melalui pelbagai inisiatif termasuklah pembangunan kandungan ilmiah; pembangunan pelantar perkongsian sumber ilmiah digital; penyampaian perkhidmatan yang inovatif dan pengukuhan kerjasama perpustakaan pada peringkat global.

IMG 0092

“KPT berharap inisiatif ini akan dapat meningkatkan pencapaian perkhidmatan pendidikan tinggi khususnya dari sudut keperluan pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dalam persekitaran norma baharu dan juga untuk pembelajaran sepanjang hayat rakyat Malaysia,” kata beliau.

Tambah beliau, keberanian untuk meneroka perkara baru dan mencabar merupakan prasyarat penting untuk menjayakan suatu misi dan di dalam perspektif KPT semua UA juga perlu berani mencapai lebih daripada status quo, menambah perubahan minda, melakukan anjakan paradigma, berfikir di luar kotak dan berkongsi sumber kepakaran.

IMG 0133

“Besar harapan saya agar konsortium sumber elektronik pendidikan tinggi ini dapat meneruskan agenda bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pendidikan tinggi dalam aspek penyediaan sumber khazanah ilmu kepada warga pendidikan tinggi dan juga orang awam, seterusnya membantu menjadikan lebih ramai rakyat Malaysia berpendidikan tinggi bagi memajukan negara,” kata Noraini lagi.

IMG 0038

Pada majlis yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, penubuhan konsortium sumber elektronik pendidikan tinggi merupakan satu inisiatif yang amat baik oleh KPT yang banyak memberi faedah bukan sahaja kepada warga kampus tetapi juga masyarakat tempatan mahupun global bagi manfaat sumber digital ilmiah tersebut.

“USM sentiasa menyokong usaha baik yang dilaksanakan oleh pihak KPT bagi memastikan kelestarian penyampaian ilmu mengikut situasi dan keadaan semasa yang kini kita sedia maklum berada dalam pandemik COVID-19, iaitu banyak ke arah pendigitalan ilmiah untuk disampaikan kepada semua yang terlibat di universiti mahupun di luar,” jelas beliau.

Jelas Faisal Rafiq, cabaran utama adalah untuk memastikan semua pelajar IPT dapat menjalani pembelajaran dengan baik walaupun di mana mereka berada, dan di dalam hal ini USM sentiasa mendokong hasrat KPT agar dapat menjayakan aspek ekuiti untuk semua pelajar, staf akademik, penyelidik dan masyarakat luar bagi mendapat hak pendidikan yang setara.

IMG 0021

Yang turut hadir adalah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dato' Dr. Husaini Omar; Naib-Naib Canselor dan Rektor UAserta barisan Ketua Pustakawan UA, termasuk Ketua Pustakawan USM, Rugayah Ali yang hadir sebagai saksi kepada perjanjian MoU terbabit.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa  

  • Created on .
  • Hits: 607

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024