USM TERIMA LAWATAN RASMI SULUNG MENTERI PENGAJIAN TINGGI
USM PULAU PINANG, 22 Mac 2021 – Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad telah mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini sejak beliau dilantik memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi pada 10 Mac 2020 lalu.
Lawatan sulung YB Menteri tersebut sememangnya dinanti-nanti dan dialu-alukan oleh seluruh warga USM.
Ketibaan beliau disambut oleh barisan pengurusan tertinggi USM yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Dato’ Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan bersama Timbalan-timbalan Naib Canselor; Pendaftar, Dr. Musa Ali serta pegawai-pegawai utama universiti.
Dalam ucapan alu-aluannya di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) yang turut dihadiri hampir 400 pelajar universiti termasuk mereka dari pasukan badan-badan beruniform, Awang Adek mewakili seluruh warga USM merakamkan tanda penghargaan dan terima kasih kepada YB Menteri atas kesudian beliau untuk meluangkan masa berkunjung ke USM.
Seterusnya Naib Canselor memberi taklimat mengenai profil universiti serta prestasi dan pencapaian keseluruhan USM, terutamanyaperkongsian pengalaman universiti dalam menangani pandemik COVID-19.
Di sesi tersebut, Noraini juga meminta kerjasama warga USM dengan menggalakkan pendaftaran untuk menyertai Malaysian Vaccine Support Volunteers selaras dengan usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin berikutan pandemik COVID-19 yang masih berleluasa.
Beliau juga mencadangkan agar USM dapat memberi khidmat dengan membantu orang lain mendaftar untuk mendapatkan vaksin tersebut.
Noraini bersama delegasi KPT kemudiannya dibawa melihat dan mengenali lebih dekat pelbagai fasiliti baharu serta yang telah dinaiktaraf di sekitar kampus yang bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran yang terbaik dan berupaya mencetuskan impak kepada para pelajar masa kini.
Beliau juga dibawa melawat The Bricks di Bangunan Siswaniaga@USM yang berfungsi sebagai 'learning space", 'lounge', ruang riadah, ruang pameran dan ruang perniagaan kepada para pelajar.
Menurut beliau, ia suatu inisiatif yang amat baik yang mana para pelajar mempunyai ruang untuk bekerja sambil belajar dan juga menjual produk yang dihasilkan sendiri, sekaligus memupuk semangat keusahawanan dalam diri pelajar.
Delegasi KPT itu juga singgah di Hostel Premium di Desasiswa Harapan yang dibangunkan dengan menggunakan konsep penginapan yang lebih santai dan serba moden untuk membolehkan pelajar menetap di dalam kampus dengan keadaan yang lebih selesa.
Noraini turut mengadakan perjumpaan bersama Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) diketuai oleh Yang Dipertuanya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri bagi membincangkan pelbagai aktiviti dan program pelajar, kebajikan pelajar dan tanggungjawab MPP dalam menjaga dan memperjuangkan kebajikan para siswa.
Delegasi KPT yang mengiringi YB Menteri termasuk Ketua Setiausaha, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Rosli Yaakub; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dato’ Dr. Husaini Omar; Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Dr. Mohd Suzeren Md. Jamil serta barisan pegawai utama kementerian.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 989