USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KHUAM: PLATFORM SEMUA HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI JALIN KERJASAMA STRATEGIK

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Mac 2021 – “Saya berharap Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) dapat dijadikan platform kepada semua Hospital Pengajar Universiti (HPU) menjalinkan kerjasama strategik, khususnya dalam bidang teknologi dan inovasi perubatan, penerokaan bidang baharu seperti perkongsian sumber, penyelarasan data pesakit dan peningkatan kepakaran di negara ini,” demikian harapan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

logoKHUAM-01.png

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Kali Ke-3 Pusat Perubatan Akademik yang diadakan sepenuhnya secara dalam talian selama dua hari bermula 22 Mac 2021.

Persidangan yang mengangkat tema ‘Health System Resilience During The COVID-19 Pandemic’, dilaksanakan selari dengan objektif yang berfokuskan kepada ketahanan sistem kesihatan semasa pandemik COVID-19, kesan pandemik COVID-19 kepada struktur kesihatan semasa, kesan pandemik COVID-19 kepada aspek sosioekonomi, sokongan digital dan makmal dalam memerangi COVID-19 serta kehidupan semasa dan selepas COVID-19.

Menurut Faisal Rafiq, dalam tempoh yang mencabar ini, HPU turut memainkan peranan dan terlibat secara langsung bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani isu ini seperti membuka wad rawatan COVID-19, melakukan ujian saringan, program vaksinasi serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkaitan dengan COVID-19.

“Hasil R&D diharap dapat membantu pihak kerajaan dalam menangani dan mencegah wabak dari terus menular dan saya difahamkan banyak penyelidikan serta kertas kerja telah diterbitkan oleh para pensyarah universiti.

SAVE 20210323 192949

“Selain daripada memberi perawatan kepada pesakit, HPU juga terlibat dalam program pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar-pelajar pra-siswazah dan pasca-siszawah kerana pandemik COVID-19 telah mengubah situasi bidang pendidikan yang mana ia memberi impak kepada keseluruhan pihak yang berkepentingan termasuk pelajar, pensyarah, pengurusan, pentadbiran dan badan-badan akreditasi,” jelasnya.

Tambah Faisal, perubahan ini telah menyebabkan material pembelajaran yang diamalkan dahulu perlu diubahsuai dan ditambah baik bagi disesuaikan dengan kaedah penyampaian semasa berlakunya pandemik COVID-19 ini.

“Staf HPU yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menangani pandemik COVID-19 telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, sama seperti petugas barisan hadapan COVID-19 yang lain.

“Sama ada mereka staf akademik, pengurusan, staf sokongan atau pelajar universiti, kesemuanya turut terdedah kepada tekanan mental dan emosi yang perlu ditangani secara serius dan berhemah,” ujarnya lagi.

kelanyat12

Turut sama mengikuti majlis perasmian penutup tersebut ialah Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Madya Dr. Wan Zuhainis Saad mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Pengerusi KHUAM, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin; Pengarah Kampus Kesihatan yang juga Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Pengarah-pengarah Hospital Pengajar Universiti; Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dato’ Dr. Hajjah Selasawati Haji Ghazali; Pengerusi Bersama Jawatankuasa Persidangan kali ini, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dan penceramah-penceramah jemputan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel & Nor Muhammad Mohd Noran (Pelajar praktikal USM)/Foto: Anis Azniriza Zainol

  • Created on .
  • Hits: 886

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024