USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGALAMAN IBU JADI PENGAJARAN-IBU TUNGGAL

PULAU PINANG, 15 Mei 2013 – Pengalaman melihat ibu yang bekerja keras membuat kuih-muih tradisional dari tengah malam sehingga ke lewat pagi membuatkan seorang ibu tunggal nekad mengubah cara kerja tersebut ke arah yang lebih baik.

Individu tersebut, Che Kamsaini Ridzuan berkata, beliau memang tidak melepaskan peluang untuk belajar resepi kuih-muih seperti karipap pusing, cucur badak, samosa, popia daripada ibunya memandangkan ibunya terkenal dengan kepakaran membuat kuih-muih satu ketika dulu.

Pun begitu ujarnya, bila mengenangkan nasib ibunya yang bersengkang mata melakukan pekerjaan tersebut menjadikan beliau terfikir untuk melakukan perubahan dan belajar cara membuat kuih-muih tersebut secara sejuk beku.

``Saya belajar daripada pengalaman serta tidak mahu berjaga malam dan seawal jam 4 pagi pagi sudah kena bangun menggoreng kuih. Justeru, saya ikuti perkembangan semasa dan mempelajari teknik membuat makanan sejuk beku.

``Dengan cara ini, saya tidak perlu berjaga malam dan bekerja secara normal bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Saya juga tidak menggunakan sebarang bahan tiruan, keaslian citarasa kuih-muih sentiasa terpelihara walaupun setelah disejuk beku,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Hari Keusahawanan Ibu Tunggal yang diadakan di Anjung Budi, di sini semalam.

Sebanyak sembilan gerai yang dikelolakan ibu tunggal dibuka untuk kunjungan orang ramai meliputi jualan makanan, produk kesihatan, kraftangan, pakaian dan sebagainya.

Selain beliau, seorang lagi ibu tunggal dari Balik Pulau, Juriah Semad pula berkata, beliau menceburi bidang urutan tradisional kerana merasakan ia satu pekerjaan yang jarang dilakukan oleh masyarakat khususnya generasi muda.

Katanya, beliau mahir mengurut khususnya urutan tradisional untuk wanita, urutan bayi dan menguruskan urusan berpantang ibu-ibu bersalin dan sebagainya.

``Saya juga telah mengembangkan bisnes perniagaan makanan dan sedia menerima tempahan untuk perkhidmatan caterer dan satay,’’ katanya yang tidak menjadikan alasan ibu tunggal untuk tidak berusaha menjana pendapatan sendiri.

Dalam pada itu, program Hari Keusahawanan Ibu Tunggal itu dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (KANITA), bertujuan mempertajamkan kemahiran usahawan ibu tunggal di samping mempromosi produk perniagaan dan membantu mereka untuk menjana pendapatan tambahan. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Yong Check Yoon

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 2321

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024