KEKSOS PPIK SERAH SUMBANGAN PRIHATIN BANTU PELAJAR-PELAJAR YANG MEMERLUKAN
USM PULAU PINANG, 26 Mac 2021 - Kelab Kebajikan dan Sosial (KEKSOS), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM) mengagihkan sejumlah RM4,715 kepada 41 orang pelajar USM yang memerlukan, melalui kutipan sumbangan yang dibuat oleh ahli-ahli KEKSOS sendiri yang terdiri daripada pensyarah dan staf PPIK.
Menurut Dekan PPIK merangkap Penasihat KEKSOS, Profesor Dato’ Dr. Narimah Samat, pelajar-pelajar yang menerima bantuan ini adalah pelajar-pelajar daripada PPIK sendiri dan mereka telah dipilih mengikut kriteria-kriteria tertentu.
Daripada jumlah tersebut, 28 orang pelajar telah menerima bantuan melalui pembayaran online dan selebihnya diberikan melalui majlis penyerahan sumbangan yang diadakan pada hari ini.
Dalam majlis tersebut, KEKSOS diwakili oleh Dr. Mohd Khaidir Abdul Wahab dan beberapa pensyarah termasuk wakil pelajar PPIK bagi menyerahkan sendiri bantuan tersebut.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa Tekun (MPDT), Norhashikin Ahmad Tarmizi menyifatkan sumbangan ini adalah amat bermakna kepada penghuni Desasiswa Tekun yang memerlukan dan MPDT juga sedang giat mengadakan program Spread The Love iaitu program Food Bank untuk kemudahan pelajar-pelajar yang memerlukan yang menghuni di desasiswa berkenaan.
Pihak Desasiswa Tekun amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh KEKSOS dan amat berharap agar pelajar-pelajar yang menerima bantuan ini akan menggunakannya dengan sebaik mungkin terutamanya ketika mengikuti pengajian di Semester 2 dalam suasana pandemik COVID-19.
Teks: Mohd Rashid Abdul Rejab/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 684