USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-BPPBPP ICU METERAI PERSEFAHAMAN PERKASA AGENDA BUMIPUTERA NEGERI PULAU PINANG

**Kerjasama universiti-agensi kerajaan**

SEBERANG JAYA, PULAU PINANG, 23 Mac 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (BPPBPP ICU) baru-baru ini (19 Mac) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha bersama memperkasakan agenda Bumiputera di negeri Pulau Pinang.

IMG 0066

Kerjasama tersebut melibatkan beberapa kajian dan penyelidikan data yang bakal diusahakan bersama dengan USM sebagai penyedia pangkalan data, bertujuan mencari pendekatan terbaik membangunkan masyarakat Bumiputera negeri Pulau Pinang khususnya.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Datuk Haji Shabudin Yahaya berkata, kerjasama melibatkan USM ini amat dinantikan oleh BPPBPP ICU kerana kepakaran yang dimiliki oleh Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) USM amat ditagih dalam usaha meningkatkan taraf hidup Bumiputera di negeri Pulau Pinang.

“Kita mempunyai tujuh fokus utama yang ditubuhkan meliputi bidang ekonomi, sosio budaya dan juga warisan dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan lain-lain lagi yang boleh membangunkan masyarakat Bumiputera Pulau Pinang.

“Namun begitu, kesemua perkara yang ingin dibangunkan ini mestilah berteraskan kepada kajian, fakta dan juga kepakaran maklumat yang mencukupi, atas sebab itulah USM menjadi pilihan dalam usaha menilai semula aspek termasuk pendataan bagi memudahkan pihak BPPBPP ICU melaksanakan pembangunan tersebut hingga ke akar umbi,” katanya yang hadir menyaksikan majlis Penandatanganan MoU di antara kedua-dua pihak bertempat di The Light Hotel, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Jelas beliau lagi, hasil daripada kajian yang dibuat oleh pihak USM ini akan digunakan sebagai landasan untuk BPPBPP ICU menentukan dasar dan juga keputusan bagi melihat perjalanan pembangunan masyarakat Bumiputera di negeri Pulau Pinang.

Pada majlis yang sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, USM sentiasa mengalu-alukan usahasama seumpama ini kerana ia berperanan sebagai penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak.

“Kepakaran pihak universiti dan pengalaman BPPBPP ICU boleh digembleng bersama, bukan sahaja untuk manfaat bidang akademik, malah berupaya untuk memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera Pulau Pinang,” kata beliau yang hadir mewakili Naib Canselor USM ke majlis tersebut.

Jelas Abdul Rahman, MoU itu juga adalah penzahiran kepada komitmen kedua-dua pihak untuk menjalankan pelbagai program secara lebih bersistematik, antaranya untuk mengenal pasti bidang kajian yang boleh dilaksanakan, penganjuran bengkel, seminar dan forum, penerbitan dan membangunkan pangkalan data khususnya bagi memperkasakan agenda Bumiputera Pulau Pinang.

”CenPRIS USM merupakan sebuah pusat penyelidikan yang berfokus kepada penyelidikan sains sosial bermula sejak tahun 1974.

IMG 0083

Malah CenPRIS merupakan pusat penyelidikan sains sosial yang pertama di Malaysia dan telah melaksanakan kajian-kajian yang berimpak tinggi kepada agensi kerajaan.

Sebagai contoh, hasil daripada penyelidikan-penyelidikan yang dibangunkan, Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN Nasional telah berjaya diangkat sebagai antara agensi terkemuka di peringkat nasional,” kata beliau lagi.

Jadi beliau berharap dengan kepakaran yang dimiliki CenPRIS bakal memperlihatkan pembangunan pangkalan data dan sistem maklumat untuk dijadikan rujukan oleh pihak BPPBPP ICU bagi merangka dan melaksanakan program dengan lebih berkesan.

Yang turut hadir Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; Pengarah BPPBPP ICU, Asuat Ahmad; Pengarah CenPRIS merangkap Pengerusi Focus Group Penyelidikan dan Pangkalan Data, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk; Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Tuan Azman Ibrahim; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Dato’ Haji Rosman Hashim dan Ahli-ahli Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 893

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024