DUA PELAJAR USM TERPILIH TERIMA KOMPUTER RIBA DARI MENTERI PENGAJIAN TINGGI
PULAU PINANG, 23 Mac 2021 - Dua pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) terpilih untuk menerima komputer riba berspesifikasi tinggi dan apa yang lebih bermakna buat mereka apabila ia disampaikan sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam sesi lawatan kerja beliau ke Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.
Kedua-dua mereka dari keluarga berpendapatan rendah kategori B40 adalah pelajar tahun satu bidang Kejuruteraan Awam, Abidah Ghazali dan pelajar tahun dua bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Muhamad Husaini Asyraf Adnan.
Kedua-duanya menerima sumbangan tersebut secara peribadi ketika Noraini berkunjung ke kediaman mereka masing-masing sebagai sebahagian dari agenda lawatan beliau ke USM.
USM amat memahami kesukaran yang dialami pelajar-pelajar asnaf berkategori B40 sewaktu pandemik COVID-19 ini dan pihak universiti telah terpanggil untuk membantu para pelajarnya yang terkesan dengan memberi sumbangan sejumlah 352 buah komputer riba keseluruhan sepanjang pandemik kepada kesemua penerima yang layak.
Pada program itu, kedua-dua mereka turut menerima sumbangan mesin pencetak (printer) dan ‘headphone’ yang disumbangkan oleh wakil dari Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).
Abidah ketika ditemui selepas menerima sumbangan itu berkata, kekangan kewangan menyebabkan dia tidak dapat membeli komputer riba sekaligus menyukarkan proses pembelajarannya, di samping rumahnya tidak mempunyai talian internet.
Berasal dari Kampung Masjid, Teluk Kumbar, Pulau Pinang, dia amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan USM itu dan teruja apabila dimaklumkan akan menerima komputer itu daripada Menteri Pengajian Tinggi.
“Ayah bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan RM1,000 sebulan, manakala ibu seorang suri rumah; memang rasa gembira bila dimaklumkan akan menerima sumbangan ini daripada pihak universiti.
“Sumbangan dari universiti ini memang tidak ternilai dan saya akan menggunakannya untuk melancarkan proses pembelajaran saya, apatah lagi ia cukup menggembirakan saya kerana yang menyampaikannya Datuk Seri Dr. Noraini sendiri,” katanya.
Bagi Muhamad Husaini Asyraf yang tinggal di Bandar Baru PERDA, Teluk Kumbar, sumbangan komputer riba itu amat dihargainya memandangkan pendapatan keluarganya hanya RM300 sebulan sekaligus menyukarkannya untuk membeli komputer peribadi yang baginya mahal untuk dimiliki.
“Saya tidak mahu menyusahkan keluarga untuk membeli komputer, memandangkan hanya ibu yang bekerja sebagai pengasuh manakala ayah tidak bekerja kerana menghidapi sakit jantung.
“Alhamdulillah, sumbangan yang amat dinanti dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih buat USM yang memilih saya untuk sumbangan kali ini,” katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, kementeriannya amat menggalakkan sumbangan sebegini kerana ia mampu membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan.
“Diharap sumbangan yang diberikan ini akan digunakan sebaik mungkin bagi membolehkan proses pembelajaran pelajar-pelajar ini berjalan lancar seterusnya mampu memberi kemudahan buat para pelajar meneruskan pengajian terutamanya dengan situasi kini yang banyak memerlukan pembelajaran secara dalam talian.
“Saya juga berharap kesemua pelajar terpilih ini akan dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pengajian dan belajarlah dengan rajin agar mencapai keputusan cemerlang,” katanya.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 707