WANITA MASA KINI DARI SISI PANDANG PROF. DR. NORAIDA ENDUT
Sambutan Hari Wanita Sedunia atau juga dikenali sebagai Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun bagi menghargai peranan wanita dalam pelbagai bidang.
Sempena meraikan peranan wanita di seluruh dunia, terdapat pelbagai acara atau aktiviti yang dilakukan dalam meraikannya, tidak terkecuali juga di Universiti Sains Malaysia (USM).
Wanita sama ada ibu, isteri, jururawat, guru, pensyarah dan sebagainya perlu dihargai dengan penuh kasih sayang sebagai lambang penghormatan dan peranan mereka yang sangat penting dalam kehidupan seharian.
Wanita adalah penyumbang kepada kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan dan pengukuhan masyarakat penyayang.
Bersempena hari wanita pada tahun ini, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) berkesempatan menemubual Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM, Profesor Dr. Noraida Endut bagi mendapatkan sisi pandang beliau mengenai peranan dan kedudukan wanita masa kini dalam pembangunan setiap bidang ke arah kesejahteraan negara.
Susulan temubual tersebut, beberapa intipati menarik yang seharusnya dikongsikan kepada masyarakat umum mengenai pentingnya hak dan peranan wanita masa kini kepada negara yang menyumbang hasil pelbagai bidang, yang sememangnya tidak harus dipandang ringan.
Ikuti temubual eksklusif MPRC bersama Profesor Dr. Noraida Endut untuk dikongsikan seperti di bawah:
Assalamualaikum W.B.T., Prof., semoga berada dalam sihat sejahtera hendak-Nya. Pertama kali diucapkan Selamat Hari Wanita kepada Prof. selaku Pengarah dan juga staf-staf di Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM. Terima kasih Prof. kerana sudi meluangkan masa sesi untuk temubual bersama MPRC bagi tujuan perkongsian kepakaran Prof. dalam penyelidikan serta memperjuangkan hak dan kesamarataan wanita.
Waalaikumussalam W.B.T., Alhamdulillah khabar baik. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak MPRC kerana sudi memilih untuk menemubual saya sempena hari Wanita Sedunia yang diraikan baru-baru ini.
Prof., izinkan saya untuk memulakan sesi temubual ini dengan soalan pertama:
Setiap tahun kita akan menyambut Hari Wanita Sedunia, termasuklah USM sendiri yang meraikannya dengan pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak KANITA. Bertemakan “Women in Leadership, Choose to Challenge” boleh Prof. terangkan mengapakah tema ini dipilih untuk dikongsikan kepada umum?
“Women in Leadership” ialah sebahagian daripada tema yang disarankan oleh 'United Nations Entity for Gender Equality and the Empowerment of Women (UNWomen)' manakala #ChooseToChallenge adalah tema yang dicadangkan oleh laman sesawang www.internationalwomensday.com yang biasa menjadi rujukan utk sambutan Hari Wanita Antarabangsa. Pihak KANITA menggabungkan kedua-dua tema ini kerana ia merupakan elemen-elemen yang amat relevan kepada situasi semasa dari sudut pencapaian wanita di Malaysia.
Bertemakan “Women in Leadership”, kita telah menyaksikan pelbagai pencapaian dan kemajuan dalam memerkasakan hak sama rata kepada wanita dari segi kepimpinan, kerjaya, ekonomi dan sosial. Pada pandangan Prof., sehingga kini, sejauh manakah peluang tersebut diambil sepenuhnya oleh wanita bagi mencapai kemajuan hak sama rata dalam pelbagai rentas bidang?
Sebenarnya persoalan ini bukanlah sejauh mana wanita mengambil peluang tersebut tetapi benarkah peluang sudah disediakan dengan mencukupi untuk golongan wanita itu sendiri. Peluang yang substantif masih menjadi persoalan dalam hal-hal berkaitan wanita dan kepemimpinan. Data nasional (Malaysian Gender Gap Index) dan data antarabangsa (Global Gender Gap Index) masih menunjukkan jurang gender yang amat tinggi dalam komponen wanita dan kepemimpinan dengan penglibatan wanita dalam politik (di Parlimen dan di Kabinet) berada pada kurang daripada 20 peratus. Kedudukan wanita di dalam pembuatan keputusan pula baru mencapai 25 peratus secara keseluruhannya.
Salah satu saluran ke arah meletakkan wanita dlm kepemimpinan ialah melalui pekerjaan, tetapi hal ini telah terhalang di awal lagi kerana hanya 55 peratus wanita berada dalam tenaga buruh Malaysia berbanding lebih 80 peratus bagi lelaki.
Selain itu, terdapat halangan-halangan lain sebenarnya untuk wanita walaupun terdapat akses-akses formal (contohnya dasar/undang-undang yang membenarkan semua orang dewasa bekerja), tetapi peluang substantif tidak meluas iaitu bagaimana kita memastikan wanita dapat bekerja dengan efektif jika masyarakat masih meletakkan tugas reproduktif lebih berat kepada wanita.
Wanita dianggap sebagai penjaga utama keluarga, oleh itu apabila seseorang perlu melepaskan peluang pekerjaan untuk menjaga hal ehwal keluarga, kebiasaannya wanita menjadi pilihan, biarpun dia mungkin lebih berpotensi meyumbang kepada kesejahteraan ekonomi keluarga melalui pekerjaannya.
Dewasa ini, dapat dilihat ramai wanita masa kini mempunyai kerjaya sendiri apatah lagi ramai pula menceburi dunia perniagaan yang banyak menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi keluarga mahupun negara. Adakah Prof. melihat ini sebagai salah satu perkembangan yang baik dalam usaha pelbagai agensi memperjuangkan hak wanita keseluruhannya?
Ia perkembangan yang baik tetapi apa yang kita nampak itu tidak semestinya menggambarkan perkara yang sebenar. Data menunjukkan komponen pemerkasaan ekonomi merupakan komponen kedua rendah dalam pencapaian wanita di Malaysia. Kita di kedudukan ke-97 daripada 153 negara berkaitan pencapaian ekonomi wanita. Dari segi pendapatan ekonomi secara purata, wanita masih terkebelakang daripada lelaki dengan jurang lebih kurang 38 peratus. Wanita kebanyakannya berada di sektor perniagaan yang masih rendah pulangannya.
Prof., umum diketahui sehingga sekarang dalam beberapa sektor pekerjaan tertentu, penilaian terhadap wanita masih diambilkira berlatarbelakangkan hierarki dan diskriminasi berikutan persepsi terhadap wanita yang dirasakan masih tidak mampu untuk memimpin dan mencapai apa yang disasarkan oleh organisasi. Mohon pencerahan Prof.
Diskriminasi berasaskan gender memang berlaku di kebanyakan tempat kerja sama ada secara langsung atau tidak langsung. Organisasi yang mempunyai amalan jelas hanya mengambil lelaki untuk tugas tertentu kerana berpandangan wanita tidak layak, jadi ia mendiskriminasi secara langsung.
Secara umumnya tidak ada kerja yang lelaki boleh buat tetapi wanita tidak boleh buat begitu juga sebaliknya. Kita sering menyatakan wanita tidak boleh membuat sesetengah kerja yang lelaki lakukan kerana kita disosialisasikan sebegitu.
Diskriminasi yang lebih sukar diselesaikan ialah diskriminasi tidak langsung. Contoh yang jelas ialah apabila isu seperti gangguan seksual tidak ditangani di tempat kerja. Oleh kerana lebih ramai wanita mengalami gangguan seksual di tempat kerja dan pelakunya lebih ramai lelaki, tempat kerja menjadi tidak selamat untuk wanita dan wanita tidak dapat bekerja dengan produktif. Hasil daripada perkara ini terjadinya situasi yang tidak saksama dan pendiskriminasian terhadap wanita.
Adakah Prof. merasakan diskriminasi terhadap wanita sehingga hari ini masih tinggi walaupun pelbagai inisiatif dan kesedaran dijalankan bagi memperjuangkan hak sama rata wanita?
Bukan pandangan saya sahaja. Data menunjukkan sedemikian seperti yang saya kongsikan sebelum ini. Jika masih ada jurang gender dalam pelbagai aspek kehidupan, bermaksud diskriminasi masih wujud.
Adakah Prof. bersetuju bahawa wanita juga mampu menceburkan diri malah berperanan memimpin dalam bidang kerja-kerja kasar ataupun hanya dikelompokkan pada bidang kerja tertentu sahaja atas sebab batasan kemampuan wanita itu sendiri?
Seperti saya sudah nyatakan, secara umumnya, tidak ada kerja yang boleh dilakukan oleh lelaki yang tidak boleh dilakukan oleh wanita juga dan sebaliknya. Cuma kita mesti memberi perhatian kepada perbezaan biologi yang asas seperti wanita melahirkan anak. Maka, ada kalanya wanita tidak boleh bekerja dalam tempoh tertentu kerana menjalankan fungsi reproduktif melahirkan anak yang dari sudut saintifiknya memerlukan masa utk pulih semula dan sebagainya. Bukan bermakna wanita selamanya tidak boleh melakukan sesuatu kerja.
Kita perlu mudahcarakan peranan reproduktif wanita bila mereka berada dalam pekerjaan, sebab peranan biologi ini juga menyumbang kepada pembinaan negara-bangsa. Tambahan pula, selagi masyarakat meletakkan tugasan penjagaan keluarga secara utama kepada wanita, tempat kerja perlu peka kepada "multiple burden" kaum wanita. Sebab itulah KANITA sedang mengusahakan dasar 'Tempat Kerja Mesra Keluarga' di USM.
Sedia maklum negara kita mempunyai undang-undang yang melindungi wanita daripada keganasan dan menyelaraskan ketidakseimbangan. Namun begitu, kita masih kekurangan usaha yang jitu daripada agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam memastikan akses kepada wanita untuk perlindungan, sokongan dan keseimbangan undang-undang. Adakah Prof. bersetuju dengan kenyataan ini?
Ya. Kita mempunyai undang-undang yang baik berkaitan keganasan rumah tangga dan kita negara ASEAN pertama melaksanakan undang-undang seumpama itu.
Masalahnya ialah sama ada agensi yang melaksanakan undang-undang tersebut dilatih dengan baik untuk menjalankan tugas. Latihan ini termasuklah dalam bentuk peka gender kerana keganasan rumah tangga merupakan satu bentuk keganasan berasaskan gender. Dalam keadaan pandemik Covid-19, kadar keganasan rumah tangga seluruh dunia juga meningkat. Maka perlu juga ada pendekatan baharu dalam menangani isu tersebut
Di Malaysia, berbanding beberapa negara lain di seluruh dunia, kerajaan banyak menyokong dan melaburkan jutaan ringgit bagi usaha memajukan wanita dalam sektor kepimpinan, perniagaan dan pekerjaan. Contohnya, peningkatan taraf kesihatan dan pencapaian pendidikan. Pandangan Prof. berkenaan perkara ini?
Selain daripada pelaburan formal, kita sebenarnya memerlukan perubahan daripada segi norma dan persepsi masyarakat yang masih meragui kebolehan wanita memimpin di pelbagai peringkat.
Wanita di Malaysia telah diberi pelbagai kebebasan termasuk kebebasan untuk mengundi, memandu, memohon pekerjaan, memiliki harta, mewarisi harta, bekerja di luar rumah dan melancong dengan bebas. Adakah kebebasan seperti yang disediakan cukup membantu meletakkan taraf wanita pada tahap yang disasarkan?
Kebebasan yang diperlukan ialah kebebasan sebagai warganegara untuk mendapat peluang dan hasil pembangunan secara saksama tidak mengira jantina. Kebebasan untuk menjalani hidup yang dijamin oleh perlembagaan, contohnya, termasuklah kebebasan utk mendapat kualiti hidup yang baik.
Jika wanita masih terkebelakang dalam bidang ekonomi dan tidak mendapat kesejahteraan ekonomi, maksudnya kebebasan ini belum saksama. Begitu juga jika keganasan berasaskan gender berleluasa, kebebasan wanita untuk hidup, bergerak dan bekerja sebagai warganegara adalah terbatas, maka kebebasan itu tidak efektif.
Jika kita mendalami kepelbagaian rencah kehidupan wanita di sekeliling kita seperti ibu tunggal, wanita yang tidak berkahwin, wanita warga emas, wanita kurang upaya, wanita kaum asli, wanita pelarian, pekerja asing wanita, selain tidak lupa juga golongan wanita hidup mewah kelas atasan, adakah Prof. melihat ketidakseimbangan dalam perjuangan agensi wanita terhadap hak-hak wanita serta autonomi sebenarnya masih lagi belum selesai?
Wanita (mahupun lelaki) sebenarnya tidak 'homogeneous'. Setiap daripada kita hidup dalam satu konteks yang dipanggil 'intersectionality' iaitu selain jantina, identiti kita juga ditentukan oleh perkara-perkara lain seperti bangsa, agama, latarbelakang sosial, ekonomi, keupayaan/ ketidakupayaan dll.
Jika berlaku ketidaksaksamaan dlm 'intersections' ini, ianya memang memerlukan perubahan. Saya tidak melihat perjuangan-perjuangan yang dilakukan di Malaysia ini sebagai tidak seimbang. Setiap perjuangan ada latarbelakang dan ada 'sense of injustice'. Jika ada kumpulan masyarakat yang berasa mereka tidak dilayan dengan adil, kita perlu berikan perhatian dan perlu dikaji semula keadaan yang dikatakan tidak adil dengan terbuka dan berintegriti.
Kata-kata akhir dari Prof. sempena tema pada tahun ini dalam konteks USM, “Women in Leadership, Choose to Challenge”; adakah tema tahun ini berada dalam ruang lensa yang jelas melihat kepada lapisan tahap diskriminasi yang dihadapi oleh wanita dan bukan hanya terhad kepada kesetaraan gender?
Bagi saya, tema 'International Women’s Day' pada tahun ini adalah satu panggilan kepada perubahan dari mana-mana keadaan yang tidak saksama kepada yang lebih adil. Di akhirnya, kita menuju keadilan sosial yang bukan sahaja memberi manfaat kepada wanita tetapi kepada semua orang. Saya ingin meminjam satu ungkapan yang saya jumpa di salah sebuah laman sesawang agensi antarabangsa 'What's good for gender equality is good for economy and society'.
Terima kasih banyak Prof. di atas pandangan kepada soalan yang ditujukan. Semoga ia mampu membuka ruang landskap pemikiran umum mengenai hak dan kesamarataan terhadap wanita yang harus diambil perhatian dan tindakan sewajarnya perlu diambil kerana wanita kini sudah mampu mencapai kejayaan demi kejayaan dan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara mahupun dunia.
Sama-sama. Semoga pandangan saya ini sedikit sebanyak dapat membantu memberikan gambaran sebenar situasi dan kedudukan wanita masa kini yang mungkin boleh diberi perhatian oleh pihak-pihak berkenaan.
Terima kasih.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: MPRC
- Created on .
- Hits: 4577