KOLABORASI KEPAKARAN PENYELIDIK HASILKAN WAJAH PERAK MAN
**Penyelidikan rentas disiplin**
USM, Mac 2021 - Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah apabila berjaya membuat ‘lakaran wajah Perak Man’, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lalu di Lembah Lenggong, Perak.
Perak Man juga adalah rangka tulang manusia dari zaman batu era Paleolitik yang hampir sempurna yang ditemui di Asia Tenggara dan merupakan tulang prasejarah yang mempunyai congenital deformity yang dikenali sebagai Brachymesophalangia.
Lakaran wajah Perak Man itu dibuat menerusi kaedah 3D virtual reconstruction melalui kolaborasi kepakaran penyelidik pelbagai bidang, termasuk pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.
Artikel jurnal berkenaan diterbitkan menerusi Malaysian Journal of Medical Sciences USM.
Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Dr. Johari Abdullah yang bertanggungjawab menghasilkan lakaran wajah Perak Man berkata, perbincangan dan perancangan untuk menghasilkan wajah Perak Man sebenarnya bermula sejak dua tahun yang lalu dan ianya adalah cetusan idea Pakar Bedah Neurosurgeri Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah.
Johari berkata, pakar bedah USM itu menyuarakan idea berkenaan dengan mengambil kira pelbagai kelebihan yang ada pada USM untuk merealisasikannya kerana rangka/skeleton tersebut sememangnya ditemui oleh penyelidik dari USM sendiri.
“Ia ditambah pula dengan proses CT Scan yang turut dilakukan di Hospital USM dan hal ini memberikan kelebihan kerana data yang ada boleh digunakan dalam membentuk penghasilan wajah Perak Man.
“Melalui pembacaan buku berkenaan Perak Man hasil tulisan Profesor Dato' Zuraina Majid yang bertajuk ‘The Perak Man and other Prehistoric Skeletons of Malaysia’, beserta data-data yang ada, saya cuba dapatkan ‘hypothetical face’ Perak Man di samping mendapatkan data dari tengkorak yang lain, yang saiznya lebih kurang sama dengan rangka yang ada”, ujar Johari.
Dengan kepakaran dalam bidang pengimejan kraniofasial dan rekonstruksi 3D, beliau telah membentuk semula tulang kepala Perak Man untuk membuat lakaran wajah Perak Man, menggunakan teknologi 3D yang lebih cepat dan mudah berbanding proses penghasilan patung menggunakan tanah liat sebagaimana teknik yang biasa digunakan sebelum ini.
Tambah beliau lagi, penghasilan lakaran imej tersebut mendapat bantuan Cicero Moraes, pakar reka bentuk 3D dari Brazil yang sanggup membantu dan berkongsi idea memandangkan beliau sememangnya berpengalaman luas dan telah menghasilkan banyak reka bentuk sebegitu.
“Setelah selesai merekabentuk tulang kepala Perak Man, saiz dapat dianggarkan dan perbandingan dibuat dengan saiz otak manusia moden. Melalui data yang diperolehi, sekali lagi perbandingan dibuat antara saiz otak rakyat Malaysia dengan rakyat luar negara kerana berdasarkan kajian sebelum ini, dipercayai Perak Man adalah daripada etnik ‘Australo-Melanesia’ dan sub-etnik Negrito.
“Di sini, satu lagi kelebihan bagi kita kerana pakar arkeologi USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin juga banyak membuat kajian ke atas suku Lanoh yang merupakan orang asli dari puak Negrito, selain beliau memang terlibat secara langsung dengan penemuan Perak Man,” katanya.
Disebabkan itulah, timbul persoalan bagaimana dengan warna dan ciri rambut, jambang, misai serta kedutan-kedutan yang terdapat di muka Perak Man. Pasukan penyelidik yang terlibat telah menyediakan pelbagai versi sebelum dipersetujui dengan lakaran yang diterbitkan menerusi ‘Malaysian Journal of Medical Sciences USM’, yang mana wajah Perak Man nampak kemelayuan.
Sementara itu, Pensyarah Kunjungan di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Dr. Zainul Ahmad Rajion merangkap ahli pasukan yang terlibat dalam penyelidikan ini turut berkongsi pandangan beliau berkaitan penggunaan teknologi 3D yang mampu memberi impak positif dalam bidang rekonstruksi berdasarkan data radiologi sebagaimana penghasilan lakaran wajah Perak Man.
“Saya yakin projek ini merupakan titik permulaan bagi USM untuk bekerjasama dengan universiti-universiti lain di dalam dan luar negara dalam bidang penyelidikan radiologi kerana sebelum ini penyelidikan hanya berdasarkan fundamental atau ‘pilot study’ sahaja. Dengan adanya kepakaran sebegini, penyelidikan boleh diperluaskan lagi dengan kepelbagaian bidang atau ‘interdisciplinary research’.
Dalam pada itu, Mokhtar pula menegaskan, beliau amat teruja dengan penemuan berkenaan dan menyifatkan pendekatan arkeologi kini sememangnya menumpu kepada saintifik arkeologi.
Katanya, sains diperlukan untuk membolehkan interpretasi lebih holistik dapat dilakukan terhadap penemuan-penemuan arkeologi zaman silam.
“Saya sangat menghargai usaha pasukan penyelidik ini khususnya libatsama pakar Neuro USM dan juga pasukan Radiologi Oral dan Maksilofasial ini. Ia adalah satu permulaan yang baik untuk manfaat dalam memperkasa kajian-kajian arkeologi di masa akan datang,” ujar beliau.
Teks: Marziana Mohamed Alias & Lailatul Hafiza Abdul Rashid
- Created on .
- Hits: 1707