USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JALIN KERJASAMA DENGAN SERBA DINAMIK, MANTAPKAN INDUSTRI ANGKASA NEGARA

**Kerjasama universiti-industri ** 

PULAU PINANG, 17 Mac 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (Makmal Sistem Angkasa USM) menjalinkan kerjasama strategik dengan Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) bagi membantu memajukan industri angkasa di negara ini.

SHR 3953

Kerjasama strategik ini dimeterai selepas USM dan syarikat itu menandatangani memorandum kerjasama yang diadakan secara maya baru-baru ini, berikutan penubuhan Nexus Ekonomi Angkasa Baharu (New Space Economy Nexus, NSEN), sebuah kerjasama strategik antara industri dan universiti.

Selain USM, Serba Dinamik Group turut menandatangani memorandum kerjasama dengan enam lagi institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, kerjasama itu akan membolehkan USM meneroka lebih mendalam mengenai sistem angkasa dan menyumbang kepada industri dari segi kepakaran.

“Tiga daripada penyelidik kami akan mengambil bahagian dalam inisiatif ini, sekaligus membolehkan USM meneroka lebih mendalam mengenai satelit angkasa,” katanya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Madya Dr. Farzad Ismail berkata, USM akan dapat membantu industri dengan berkongsi kepakaran untuk memajukan industri angkasa di negara ini terutamanya dalam pembuatan dan pengoperasian satelit.

“Pada masa yang sama, pihak industri membantu universiti menjalankan kajian dari segi pemberian dana, hubungan jalinan kerjasama (networking) dan kemudahan lain yang bersesuaian untuk tujuan kajian.

CDH 3181

“Tiga penyelidik yang akan terbabit adalah Dr. Norilmi Amilia Ismail, Dr. Siti Harwani Md Yusoff dan Dr. Aiffah Mohd Ali, dan mereka bertiga adalah dari pasukan Makmal Sistem Angkasa PP Kejuruteraan Aeroangkasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Serba Dinamik Group Berhad, Dato’ Dr Ir. Ts. Mohd Abdul Karim berkata, komitmen yang akan diberikan oleh kesemua universiti terlibat akan membolehkan pengembangan bakat dan tenaga kerja, sekaligus menyokong industri angkasa negara.

"Kerjasama ini membolehkan kesemua pihak terbabit meningkatkan inovasi menerusi pertukaran pengetahuan, di samping membuka peluang kepada mereka untuk meneroka revolusi ekonomi angkasa baharu bagi melaksanakan pelancaran ruang angkasa dan perkhidmatan jalur lebar," tambahnya.

Teks: Mohamad Hafiz Asyraf/Foto: ShahnizamAb Rahim & Mohamad Zaidi 

  • Created on .
  • Hits: 759

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024