PUSAT ISLAM USM TUBUH KOMALIK, SERAH KOMPUTER RIBA KEPADA ASNAF
USM, PULAU PINANG, 19 Mac 2021 - Sebagai entiti perniagaan, sudah tentunya koperasi menceburi aktiviti perniagaan di pelbagai bidang seperti yang dilakukan oleh organisasi perniagaan yang lain.
Demikian ujar Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Koperasi Masjid Al-Malik Khalid Pusat Islam USM Berhad (KOMALIK) dan Penyerahan Komputer Riba Zakat Kepada Pelajar Asnaf USM.
Kata beliau, uniknya, koperasi dimajukan oleh anggotanya dan bukannya pelabur atau penanam modal. Melalui keanggotaan dalam koperasi, masyarakat akan mendapat pelbagai manfaat serta kemudahan yang disediakan oleh koperasi.
“Menyedari akan pentingnya perniagaan dalam koperasi, peningkatan pendapatan anggotanya adalah agenda utama yang harus diberi keutamaan dan diharapkan KOMALIK ini tidak akan pernah jemu dalam menggerakkan usaha ini selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia iaitu untuk memajukan koperasi melalui persekitaran yang kondusif bagi membangunkan koperasi yang berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan negara,” jelasnya.
Turut diselitkan adalah upacara penyerahan komputer riba kepada pelajar USM yang merupakan golongan asnaf. Rata-rata penerima menganggap pemberian ini satu rezeki buat mereka untuk terus belajar dan memperolehi kejayaan walaupun hidup dalam kesempitan.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan majlis perasmian menekankan bahawa USM sebagai Universiti yang menyanjung tinggi budaya kelestarian, mentransformasikan golongan kelompok terkebawah untuk sosio-ekonomi dan juga pembangunan ummah serentak dan selari dengan Khaira Ummah di peringkat Negeri dan Persekutuan.
“Terima kasih atas sokongan semua pihak pada hari ini yang bersama-sama terlibat untuk menjayakan agenda USM dan Pembangunan Khaira Ummah.
“Dengan kerjasama pihak Pejabat Timbalan Ketua Menteri juga merangkap Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan juga pihak USM, sudah tentu agenda ini lebih mudah untuk dijayakan dan menjadi lancar dan teratur kerana telah digerakkan secara berpasukan,” tambahnya.
Faisal Rafiq turut mengajak semua mendoakan agar majlis Perasmian Koperasi Qaryah Masjid Al-Malik Khalid Pusat Islam USM (KOMALIK) dan juga serahan laptop zakat kepada asnaf hari ini dapat menghubungkan silaturrahim semua pihak berkuasa agama selain dapat mengundang rahmat dan berkat sokongan serta dokongan semua pihak untuk membentuk kekuatan khaira ummah melalui wadah Koperasi Qaryah.
Majlis turut diserikan dengan perasmian bulan Ramadhan yang akan berkunjung tiba tidak lama lagi.
Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Tuan Mohd Zakuan Haji Zakaria; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Zakaria Mat Jusoh; Ketua Pegawai Eksekutif, Zakat Pulau Pinang, Tuan Haji Amran Hazali; Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Haji Mohammad Shukri Osman, dan pengurusan tertinggi USM.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 543