NAIB CANSELOR RASMI USM-CEO TALK SERIES
PULAU PINANG, 13 Mei 2013 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr. Omar Osman merasmikan USM-CEO Talk Series bertempat di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.
“Kini, satu lagi sejarah tercipta yang menjadikan USM releven kepada semua pemegang taruh dan juga pihak industri.
“Melalui siri ceramah seperti ini, USM akan mengeratkan lagi hubungan dengan industri serta berkongsi pengalaman dengan pelajar dan juga pembekal lain,” kata Omar dalam majlis anjuran Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (PPSP) dan Pusat Pengajian Pengurusan (PPP).
Siri ceramah ini akan diadakan pada hari Isnin pertama setiap bulan selama enam bulan dan melibatkan ketua pegawai eksekutif dari enam buah syarikat ternama. Tujuannya adalah untuk menjadi platform kepada Ketua Pegawai Eksekutif berkongsi pengalaman dan halatuju masa depan industri, pasaran perniagaan dan ekonomi global serta menjadi ruang untuk perbincangan di antara USM dan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif, Motorola Technologies Sdn Bhd (MTSB), T.T. Yew berkata, kunci utama kepercayaan yang diamalkan oleh staf MTSB adalah rasa hormat yang berterusan dan juga integriti yang tinggi.
“MTSB telah wujud sejak tahun 1974 dan dan menerokai bidang penyelidikan pada tahun 1976. MTSB juga mementingkan kepimpinan, perubahan model perniagaan dan ekosistem pembekal bagi memastikan kelestarian perniagaan,” kata T.T. yang juga menjemput tiga orang pembekal untuk memberikan pandangan mengenai MTSB.
Antara yang akan menyampaikan ceramah dalam siri ini adalah Timbalan Presiden Altera Corporation (M) Sdn Bhd, Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), Dato’ Redza Rafiq Abdul Razak.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Muhammad Jantan, Dekan PPSP, Prof Madya Sofri Yahya dan Dekan PPP, Prof Fauziah Md Taib. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 2081