USM TERAP AMALAN KELESTARIAN WARGA DAN MASYARAKAT
USM, PULAU PINANG, 18 Mac 2021 - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) dan masyarakat sekeliling perlu diberi peluang untuk memahami dan menghayati konsep kelestarian yang seharusnya ‘dibudayakan’ bersama serta menjadi tanggungjawab semua dalam kehidupan seharian.
Perkara itu dinyatakan Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam ucapannya ketika merasmikan program Bulan Kelestarian USM tahun ini.
Program Bulan Kelestarian USM yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM menekankan betapa perlunya agenda kelestarian agar terus diberi penekanan dan menjadi sasaran utama universiti pada tahun ini dan masa hadapan.
“Kelestarian ini bukan hanya sekadar menumpukan kepada alam sekitar sahaja. Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan pelbagai aspek kehidupan manusia terhenti dan terganggu.
“Namun begitu, secara tidak langsung situasi ini telah membawa perubahan positif kepada keadaan alam sekitar kita,” katanya.
Pada program itu, Faisal Rafiq turut melihat demonstrasi bahan yang dikitar semula yang diadakan selepas selesai majlis perasmian.
Bagi Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim pula, ini merupakan pencetus dan langkah permulaan sebagai sesuatu yang perlu diingati mengenai kelangsungan kelestarian.
“Pusat Tanggungjawab (PTJ) perlu memulakan langkah pertama dan menggembleng budaya kelestarian di peringkat USM dan juga masyarakat kerana apa yang dilakukan ini adalah untuk dimanfaatkan generasi akan datang,” tegasnya.
Tambahnya, sepanjang Bulan Kelestarian ini, 19 aktiviti telah direncanakan dan juga 14 webinar telah diatur melibatkan pelbagai PTJ USM dan juga organisasi luar yang menjadi rakan kerjasama universiti.
Sementara itu, Pengarah CGSS, Prof. Madya Dr. Saidatulakmal Mohd menzahirkan agar Bulan ini dapat menyemarakkan semangat kelestarian buat semua warga USM selaras tema sambutan “Amalan Kelestarian Tanggungjawab Bersama”.
Beliau juga berterima kasih kepada semua PTJ yang terlibat menjayakan program universiti ini dan segala bentuk bantuan dan sokongan yang telah diberikan.
Program Bulan Kelestarian ini, jika diamati perancangannya, menyediakan aktiviti-aktiviti yang merangkumi pelbagai aspek berkaitan kelestarian iaitu aktiviti yang berunsurkan kempen (MyGreen Pledge), berunsurkan pendidikan (Mircrocredential), berunsurkan perkongsian Ilmu (webinar), berunsurkan usaha mewujudkan infrastruktur yang mesra alam (Pocket Park@USM), berunsurkan kreativiti (pertandingan logo) dan pelbagai lagi.
Bulan Kelestarian USM 2021 akan berlangsung dari 18 Mac hingga 22 April 2021.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf & Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 847