USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA SUMBANGAN DANA MOSTI JAYAKAN PERTANDINGAN DEBAT DeSTI 3.0 DALAM TALIAN

Gambarzarul

PUTRAJAYA, 15 Mac 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus diberi kepercayaan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi penganjuran buat kali ketiga Pertandingan Debat Sains, Teknologi dan Inovasi (DeSTI 3.0) apabila menerima sumbangan dana berjumlah RM21,800.00 bagi USM menjayakan pertandingan beprestij itu.

Mewakili MOSTI, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim telah berbesar hati untuk memberikan sumbangan wang tunai berjumlah RM21,800.00 kepada Kelab Debat dan Pengucapan Awam (KDPA) USM bagi menjayakan Pertandingan Debat Sains DeSTI 3.0 yang akan dijalankan secara dalam talian bermula 1 hingga 4 April 2021.

Penganjuran DeSTI 3.0 merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan dua siri DeSTI terdahulu yang dijalankan secara fizikal pada tahun 2018 dan 2019.

Bagi merebut peluang yang beradaptasikan norma baharu, KDPA USM telah mengambil inisiatif untuk menjayakan pertandingan ini secara dalam talian dengan nama Pertandingan Debat Sains, Teknologi dan Inovasi (DeSTI 3.0) Piala Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim.

Pertandingan ini bakal menyaksikan persaingan antara Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 dengan tema “Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi Asas Mendepani Cabaran Norma Baharu.”

Gambarzarula

Berlangsung di Pejabat Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim telah menyampaikan mock cheque kepada penasihat KDPA USM, Dr. Zarul Fitri Zaaba selaku wakil pihak penganjur DeSTI 3.0.

Pada pertemuan itu, Timbalan Menteri telah menzahirkan rasa bangga dan kagum terhadap KDPA USM atas usaha yang dijalankan untuk memartabatkan elemen Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui wadah diskusi ilmiah menerusi platform perdebatan yang melibatkan murid-murid sekolah menengah serata Malaysia.

“Saya berharap agar usaha USM sebagai penganjur untuk menyahut cabaran norma baharu melalui pelaksanaan program ilmiah secara dalam talian bertepatan dengan situasi semasa dapat dijalankan dengan baik dan menerima penyertaan yang memberangsangkan dari sekolah-sekolah menengah seluruh negera,” kata beliau.

Beliau turut mendoakan kejayaan kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat dalam penganjuran DeSTI 3.0 dan mengharapkan usaha murni ini akan membuahkan hasil yang dapat memberi manfaat kepada semua.

Pada majlis yang sama, Zarul Fitri turut menzahirkan ucapan terimakasih dan penghargaan di atas keprihatinan Timbalan Menteri MOSTI memberikan sumbangan untuk menjayakan pertandingan peringkat kebangsaan ini.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk dan pihak MOSTI atas sumbangan wang tunai yang diberikan. Ini merupakan suntikan dana yang amat bermakna sebagai sokongan dan dorongan buat USM untuk menjayakan pertandingan ini dengan sehabis baik,” kata beliau yang juga merupakan Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Komputer, USM.

Zarul Fitri turut berharap penganjuran DeSTI 3.0 ini akan menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat di antara USM dan MOSTI dalam usaha memartabatkan pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di negara ini, selain menjadi medan pemerkasaan modal insan berkualiti tinggi melalui penerapan elemen dalam agenda HEBAT iaitu H-Holistic, E-Entrepreneurial, B-Balanced, A-Articulate dan T-Thinking yang dibudayakan di USM.

Teks dan foto: Dr. Zarul Fitri Zaaba, Penasihat Kelab Debat dan Pengucapan Awam, USM / Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 966

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024