SENATOR DATO’ DR. AHMAD MASRIZAL: UNIVERSITI SEBUAH ‘PLANNING GROUND’
**Tokoh alumni USM**
“Di Universiti itulah tempat kita mencuba sebaik mungkin, mengenal-pasti kemampuan, menggali keupayaan, mencari potensi baru, mengasah kemahiran dan sebagainya. Dan akhirnya kesemua jati diri itu digabungkan dengan kecemerlangan akademik, akhirnya InsyaAllah, kita menjadi seorang yang berjaya walau di mana kita berada.”
USM PULAU PINANG, Mac 2021 - Permulaan yang baik di tahun 2021, pihak editorial berpeluang mengadakan pertemuan eksklusif bersama alumni terbilang USM yang kini menjadi antara tonggak utama dalam pentadbiran negara.
Beliau ialah Timbalan Menteri di Kementerian Alam Sekitar dan Air, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad.
Banyak yang dikongsikan oleh beliau khususnya bagaimana membina kerjaya dan sehingga menjadi sebahagian daripada tonggak kepimpinan negara.
Mengulas mengenai sikap dan amalan untuk meraih kejayaan, Masrizal berkata; “Apabila saya membuat sesuatu saya akan melakukannya dengan serius dan memastikan hasilnya mencapai tahap yang terbaik saya boleh buat.
“Jadi dalam setiap perkara yang saya lakukan, saya sama sekali tidak memikirkan soal ganjaran sebaliknya menitikberatkan soal kualiti dan pencapaian.
“Bagi saya, yang penting dalam hidup kita adalah untuk memiliki satu matlamat yang jelas mengenai apa yang hendak kita capai. Ia terpakai dalam setiap aspek kehidupan, termasuk jika kita baru bermula di alam persekolahan, kemudian ke Universiti dan seterusnya,” ujar beliau yang juga juga graduan jurusan Pendidikan (B.A Ed 1996).
Pun begitu ujarnya, matlamat sahaja tidak memadai jika tidak disusuli dengan kesungguhan untuk mencapai tahap terbaik dan terbilang.
“You must set a goal and go for it’. Setakat hanya mencapai matlamat tetapi tidak menjadi ‘go achiever’, ia tidak akan berbeza dengan orang-orang lain.
“Boleh saya simpulkan, success habits saya adalah bekerja dengan matlamat yang jelas dan juga prinsip untuk sentiasa menjadi cemerlang. Bagi saya juga sebagai seorang Muslim/Islam ini, perkara yang sama penting apabila memulakan sebarang pekerjaan adalah dengan menyerahkan pada Allah S.W.T”.
PENGURUSAN KARIER
Umum mengetahui, tidak semua daripada graduan Universiti dapat menempatkan diri dalam karier yang seiring dengan bidang yang dipelajari. Pun begitu, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk seseoarang itu mencapai kejayaan.
“Latar belakang akademik kita mungkin adakalanya jauh berbeza dengan pekerjaan yang kita lakukan. Saya mempunyai ramai kawan yang mempunyai ijazah yang berbeza dengan bidang pekerjaan. Pun begitu semuanya berjaya menyerlahkan potensi diri. Ia sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri.
"Untuk pengetahuan semua junior saya di luar sana, ijazah sebenarnya adalah salah satu daripada platform pertama untuk kita mencapai sesuatu di luar sana. Namun bukan ijazah yang akan menentukan sama ada kita berjaya atau sebaliknya, kerana ia bergantung kepada diri kita sendiri,” kata beliau.
Beliau menegaskan, faktor atau rahsia kejayaan adalah dengan mencabar kemampuan diri.
“Seperti saya katakan, sekiranya ijazahnya lain tetapi dia dapat menyesuaikan diri dengan bidang pekerjaan lain, maka dia boleh menjadi pekerja yang terbaik. Ijazah ini diibaratkan seperti ‘burung yang menetas dari telur’, menetas dari telur itu adalah ijazah, tetapi bagaimana burung itu terbang, bergantung pada burung itu sendiri, mahu pergi ke pokok mana, mahu terbang ke kiri atau kanan, atas ke bawah, bergantung pada burung itu sendiri. Jadi, graduan-graduan kita ini, itulah ibaratnya, sebab ijazah hanya merupakan foundation (asas), melainkan sudah sampai peringkat Ph.D dan sebagainya,” ujarnya.
Tambah Masrizal, pembelajaran di Universiti merupakan planning ground untuk sesiapa sahaja yang menginginkannya.
Katanya; “Universiti bukan hanya satu tempat untuk meraih kejayaan akademik semata-mata namun Universiti adalah tempat untuk persediaan sebelum keluar dalam alam pekerjaan.”
“Sebagai contoh, saya bertemu ramai insan hebat di luar, ada di antaranya adalah Ketua Pegawai Operasi (CEO) syarikat-syarikat berprestasi tinggi, ketua-ketua pentadbiran di pelbagai agensi dan kementerian, usahawan, semuanya bukanlah bergantung kepada ijazah kelas pertama. Mereka ini mempunyai kepelbagaian kemahiran, keupayaan dan karisma tertentu.
“Maknanya di Universiti itulah tempat kita mencuba sebaik mungkin, mengenal-pasti kemampuan, menggali keupayaan, mencari potensi baru, mengasah kemahiran dan sebagainya. Dan akhirnya kesemua jati diri itu digabungkan dengan kecemerlangan akademik, akhirnya InsyaAllah, kita menjadi seorang yang berjaya walau di mana kita berada,” tegas beliau.
Mengulas mengenai dirinya, beliau berkata; “Macam saya sebagai contoh, di USM saya berijazah dalam bidang pendidikan (Geografi), saya hanya menjadi guru selama lima tahun, kemudian menjadi pensyarah selama hampir lebih kurang 15 tahun, kemudian saya menjadi penganalisis politik, dan kemudian saya menjadi seorang timbalan menteri.”
“Jadi, tidak ada satu sijil yang ada pada saya berkaitan sains politik. Namun saya terus memberikan yang terbaik. Itulah diibaratkan keadaannya, kita yang berupaya mencorak diri kita. Saya dahulunya adalah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM pada tahun 95/96 dan saya membina kemahiran serta keupayaan menjadi seorang yang lebih baik. Bukan soal ijazah, tetapi bagaimana anda mengurus potensi diri,” ujar Masrizal.
FAHAMI REALITI ALAM KERJAYA
Karisma dan jati diri adalah ramuan yang cukup penting untuk seseorang menjadi unik berbanding individu lain. Mengulas mengenainya, Masrizal turut menyuarakan pendapatnya.
Beliau berkata, seseorang itu perlu belajar memahami realiti untuk memastikan mereka berupaya menjadi seorang yang terbaik dalam tugas/kerja masing-masing.
“Dalam kehidupan ini, realiti berbeza dengan angan-angan. Sebagai contoh, kita menganggap apabila kita masuk dalam sesuatu organisasi, kita akan dilayan dengan baik kerana kita memiliki ijazah yang terbaik atau di Universiti kita individu yang pernah menjadi sangat popular. Justeru kita berharap kita akan diterima sebaiknya ketika melangkah ke organisasi.
“Ia tidak semudah yang difikirkan kerana apabila kita masuk ke alam pekerjaan, realitinya berbeza, dan apabila berbeza, ia bergantung kepada ketahanan diri, kekuatan mental, prinsip diri yang ada. Sekiranya kita tidak memiliki ketahanan diri, maka mungkin kita tidak akan kekal lama, dan kita akan tenggelam dengan gelombang di alam pekerjaan.
“Kepada semua pelajar, graduan yang nak bekerja nanti, cabaran utamanya ialah berada pada tahun pertama di alam pekerjaan, sekiranya dapat lalui dengan baik, kita perlu sedar kita adalah orang baru, jangan anggap diri sudah ‘senior’, kena ‘behave as new employee’, jadi kita kena faham situasi, jika orang suruh kita buat begini, kena buatlah, tetapi buat dengan sebaik mungkin, jangan buat ala kadar, ‘acuh tak acuh’, dan yang penting adalah apabila kita di alam pekerjaan, kita perlu mempunyai prinsip. Hal ini kerana dengan prinsip akan menentukan sama ada kita mampu melonjak diri kita menjadi orang yang terbaik ataupun kita hanya menjadi seorang pekerja yang ‘normal’ seperti orang lain,” ujar beliau.
“Saya memegang satu prinsip yang kuat, semenjak saya mula masuk ke alam pekerjaan, berpegang teguh kepada prinsip ketuhanan, iaitu Allah S.W.T tidak akan mengubah nasib seseorang, melainkan orang itu sendiri mengubahnya.
“Jadi itulah keadaannya, sebab itu saya komited mengejar ijazah pertama, kemudiannya naik ke peringkat sarjana dan seterusnya ijazah doktor falsafah. Saya terpanggil untuk menasihatkan junior-junior’saya, kita sebagai orang Islam perlu sentiasa tanamkan perkara ini di ingatan.
“Allah S.W.T. tidak akan memberi satu ujian, melainkan seseorang itu mampu memikulnya, maka apabila kita diberi satu tanggungjawab, untuk bekerja, untuk apa sektor sekalipun, maka itu satu sektor yang bertepatan, kita perlu ‘carry’, dengan cara kita,” kata beliau.
Tambah beliau lagi, kita juga harus faham semua situasi, fikir diluar kotak, menjadi orang yang berbeza, tetapi sekali lagi saya katakan, salah satu perkara penting dalam diri ialah komunikasi.
Komunikasi berperanan penting dalam setiap elemen dan sekiranya ia terputus, itulah bermulanya permasalahan yang besar; apabila masuk kerja, kita tidak pernah bergaul dengan orang, tidak mampu bercakap dengan sempurna. Ia kerana soalnya bukan sekadar kita mampu bercakap, tetapi bagaimana berkomunikasi secara efektif/berkesan. Kita diberikan ruang maka gunakan sebaiknya.
PENGALAMAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN MENGENAI USM
- Desasiswa Harapan.
Di situlah saya mulakan kehidupan di Universiti. Saya mula mengenali rakan-rakan. Paling utama, di situ juga saya membina asas kepimpinan, tempat bermula segala-galanya dari tahun satu sehingga tamat pengajian.
- Lorong sepanjang perpustakaan hingga ke dewan kuliah.
Pada zaman itu, pelajar hanya menggunakan motosikal dan berjalan kaki, mudah parking dan ruang itu amat menarik. Ia dipenuhi dengan poster dan maklumat-maklumat, selain menjadi lokasi jalan berjumpa dengan kawan-kawan dan sebagainya.
- Keindahan Kampus USM.
Landskapnya amat terjaga. Bangunan-bangunan yang lama masihlagi dipelihara dengan baik. USM mempunyai muzium yang cukup hebat untuk dikunjungi, dan paling penting saya amat rindu dengan ‘Nasi Kandar Sharif’. Pada masa itu gerai itu berada di Gelugor dan ia pernah menjadi tempat pelajar USM berkumpul selepas habis bersukan dan sebagainya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 2660