USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SM SAINS TAPAH JUARA PIDATO HEBAT PIALA TNC USM 2021

**Program anjuran BHEPA**

USM PULAU PINANG, 2 Mac 2021 – Sekolah Menengah Sains Tapah, Perak dinobatkan sebagai juara pertandingan Pidato HEBAT Piala Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) tahun 2021 antara Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan selepas menewaskan 7 finalis peringkat akhir dan 35 orang peserta keseluruhannya dari 13 negeri seluruh Malaysia.

debat4

Aisha Hana Ezmel, wakil tunggal Sekolah Menengah Sains Tapah, Perak itu berjaya menambat hati juri dengan kepetahannya menyampaikan pidato dengan gaya bertenaga, lenggok bahasa tersusun serta pengisian maklumat yang padat bertemakan HEBAT.

Kemenangan ini cukup bermakna buat Aisha Hana memandangkan pencapaian beliau di dalam pertandingan Pidato HEBAT ini merupakan peringkat kebangsaan sekaligus beliau turut mewakili negeri Perak bagi meraikan kejayaan tersebut.

‘Kepimpinan Belia Penentu Kecemerlangan Negara’, tajuk pidato pilihan Aisha Hana akhirnya memberikan tuah buat beliau apabila kupasan dan intipati seiring dengan tema HEBAT iaitu ‘Hollistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking’.

Tempat kedua disandang oleh Azizul Zafran Aliyuzar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Perak manakala tempat ketiga menjadi milik Ahmad Idzhad Hamzie Fazul Anuar dari Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, Kedah.

Aisha Hana membawa pulang wang tunai berjumlah RM500.00 bersama hadiah iringan tajaan Iman Publication, Perpustakaan Hamzah Sendut USM, Dewan Bahasa dan Pustaka, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) Malaysia, Syarikat Penerbitan Telaga Biru dan Syarikat Penerbitan Bibliophile Bookshop, baucer tuisyen bernilai RM240.00 tajaan Pusat Tuisyen Akhiar serta sijil penyertaan dan pencapaian.

debat5

Tempat kedua, Azizul Zafran pula menerima wang tunai berjumlah RM300.00 bersama hadiah iringan serta sijil penyertaan dan pencapaian manakala tempat ketiga, Ahmad Idzhad Hamzie menerima wang berjumlah RM200.00 bersama hadiah iringan serta sijil penyertaan dan pencapaian.

debat6

Wang tunai tersebut merupakan tajaan Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), USM.

TNC HEPA USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat pemenang dan kesemua 36 peserta yang berani dan bijak memilih platform pertandingan Pidato HEBAT anjuran USM sebagai medan mengasah bakat serta menguji keupayaan diri dalam pengucapan awam.

debat3

Pertandingan Pidato HEBAT anjuran Kelab Debat dan Pengucapan Awam USM itu berlangsung pada 26 hingga 28 Februari 2021 dan buat julung kalinya diadakan secara maya berikutan pandemik COVID-19.

Peringkat akhir pertandingan itu disiarkan secara langsung di laman Facebook, HEBAT Development Centre (HDC), USM dan di laman Facebook, Pidato HEBAT USM.

Pertandingan itu merupakan platform bagi pelajar sekolah menengah mencungkil dan mengasah bakat mereka dalam bidang pengucapan awam.

Objektif program adalah untuk memantapkan kemahiran komunikasi dalam bahasa Melayu berlandaskan idea-idea pemikiran yang kritikal dan analitik dalam kalangan pelajar mengenai isu-isu semasa selaras dengan agenda pembangunan pelajar HEBAT USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa  

  • Created on .
  • Hits: 1028

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024