USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PIDATO HEBAT PIALA TNC USM 2021 MEDAN ASAH BAKAT PENGUCAPAN AWAM

**Program anjuran BHEPA**

USM PULAU PINANG, 1 Mac 2021 – Pertandingan Pidato HEBAT Piala Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia Antara Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 berlangsung dengan jayanya pada 26 Februari hingga 28 Februari 2021.

debat8

Pertandingan pidato yang julung kali diadakan secara dalam talian iaitu melalui platform “Cisco Webex” dan “Google Meet” ini berikutan faktor pandemik COVID-19, merupakan anjuran Kelab Debat dan Pengucapan Awam USM dan mendapat penyertaan seramai 36 pelajar sekolah menengah dari seluruh Malaysia.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pemenang dan kesemua 36 peserta yang berani dan bijak memilih platform pertandingan pidato HEBAT anjuran USM sebagai medan mengasah bakat serta menguji keupayaan diri dalam pengucapan awam dalam Bahasa Melayu.

Sememangnya pertandingan ini dianjurkan bertujuan mencungkil dan mengasah bakat pelajar sekolah menengah dalam mengutarakan idea yang konstruktif, matang dan bersesuaian dengan tema pertandingan iaitu “Menyemarak Agenda HEBAT, Memenuhi Aspirasi Sejagat,” kata beliau.

debat3

Jelas Aldrin, tema ini dipilih bertepatan dengan usaha universiti untuk mempromosikan agenda HEBAT USM iaitu Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking yang menjadi aspirasi pembangunan  pelajar universiti.

“Pidato HEBAT 2021 ini diharapkan mampu membuka mata semua pihak dalam membina keyakinan bahawa USM sememangnya adalah sebuah universiti yang mempunyai agenda pembangunan pelajar yang menyeluruh dan diyakini apabila mahasiswa ini bergraduasi kelak.

debat10

“Sesungguhnya harapan saya semoga ibu bapa, guru-guru dan khususnya pelajar-pelajar berpotensi tinggi yang terlibat sebagai peserta kali ini mula jatuh cinta kepada USM dan memasang impian untuk menyambung pengajian ke USM,” kata beliau lagi di majlis penutup dan pengumuman pemenang.

debat11

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih buat Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri seluruh Malaysia, Pusat Pembangunan HEBAT di bawah BHEPA, barisan sekretariat dari kalangan mahasiswa-mahasiswi yang bertungkus lumus menjayakan program ini dan semua pihak terlibat yang menyokong.

Pada majlis yang sama, mengulas kualiti persembahan peserta yang terlibat kali ini, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Komputer merangkap Penasihat Kelab Debat dan Pengucapan Awam USM serta Ketua Juri Pidato HEBAT 2021 USM, Dr. Zarul Fitri Zaaba berkata peserta yang menyertai pertandingan kali ini berkualiti dan berbakat.

debat1

“Tema HEBAT yang telah diangkat dan disampaikan oleh para peserta cukup baik dalam setiap pidato yang dipersembahkan. Setiap perincian HEBAT diterjemah oleh para pemidato dari sisi pandang yang berbeza dan unik.

Isi yang disampaikan juga adalah kemas, namun begitu aspek ini masih boleh ditambah baik lagi dengan mengaitkannya dengan pelbagai contoh terkini dan relevan bagi menyokong isi utama,” katanya.

Tambah beliau, namun begitu penekanan yang lebih berkesan perlu diberikan terhadap komponen-komponen utama agenda pembangunan pelajar HEBAT USM yang diangkat pada pertandingan kali ini.

debat2

Dari sudut persembahan, jelas Zarul Fitri, para juri sebulat suara mengatakan bahawa ia adalah baik, terdapat pelbagai gaya, ekspresi dan rima suara yang mencantikkan lagi persembahan untuk memikat hati juri.

Peringkat akhir pertandingan itu disiarkan secara langsung di laman Facebook, HEBAT Development Centre (HDC), USM dan di laman Facebook, Pidato HEBAT USM.

debat4

debat5

debat6

Aisha Hana Ezmel, wakil tunggal Sekolah Menengah Sains Tapah, Perak dinobatkan sebagai juara menewaskan tujuh finalis di peringkat akhir.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa  

  • Created on .
  • Hits: 1160

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024