USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUAT KAKI PALSU, ASAL DARI MINAT KINI JADI PENGALAMAN BERHARGA

**Staf yang sudah lama berkhidmat di USM**

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Februari 2021 – Anggota palsu atau prostesis merupakan bahagian badan tiruan bagi menggantikan bahagian tubuh yang hilang, sama ada disebabkan oleh kemalangan, penyakit atau kecacatan sejak dilahirkan.

Kemahiran dalam membuat kaki palsu tidak diminati dan dimiliki oleh semua orang. Ini kerana proses pembuatannya yang agak panjang dan rumit.

Namun ianya bukanlah sesuatu yang susah dan mustahil bagi individu bernama Zolkifli Jusoh, 55, seorang Juruteknik Perubatan (Prostetik dan Ortotik) di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Minat dan keinginan membantu golongan kurang bernasib baik mendorong beliau mendalami cara-cara pembuatan kaki palsu sehingga kemahirannya itu kini dikongsi dengan staf-staf lain di unit tersebut.

zol1

Bagi Zolkifli, walaupun sudah 35 tahun berkhidmat, beliau tidak pernah merasa jemu membuat kaki palsu untuk pesakit Hospital USM sebaliknya menganggap setiap pesakit yang dirujuk kepadanya sebagai pembawa rezeki untuk beliau mempelajari ilmu baharu dalam pembuatan kaki palsu.

“Saya mendapat ilmu baharu setiap kali membuat penilaian terhadap pesakit untuk diaplikasikan dalam menghasilkan kaki palsu yang diperlukan mengikut kesesuaian pesakit.

“Bukan sahaja dari segi saiz, jenis kecacatan malahan penilaian juga dibuat berdasarkan kemampuan kewangan pesakit untuk membiayai kaki palsu tersebut selain bertujuan mengembalikan semula imej dan keyakinan diri untuk kelangsungan hidup mereka,” ujarnya.

Zolkifli yang mula melapor diri di Hospital USM sebagai Juruteknik Rendah Perubatan pada 15 Ogos 1985 adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mempunyai asas dalam pembuatan kaki palsu, namun beliau tidak pernah berputus asa dan perlahan-lahan mempelajari selok-belok sehingga mahir dalam bidang berkenaan.

zol

“Bermula dengan membuat penilaian ke atas pesakit, merekod maklumat, mengukur untuk membina acuan, menilai semula keadaan pesakit berdasarkan acuan yang dibuat sekiranya perlu pengubahsuaian bergantung kepada saiz pemakai, menghasilkan prostesis akhir sehingga kepada proses mencuba kepada pemakai semuanya dihasilkan sendiri di Hospital USM.

“Proses menghasilkan prostesis mengambil masa yang lama, kerana ketelitian amat diperlukan agar kaki palsu yang dihasilkan menepati saiz, tidak mengakibatkan kesakitan dan komplikasi serta memberi keselesaan kepada pemakai,” ulas Zolkifli lanjut.

Kemahiran yang dimiliki, digunakan Zolkifli sebaiknya untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya asnaf yang memerlukan kaki palsu.

zol2

“Alhamdulillah, ramai yang mendapat manfaat daripada kemahiran saya ini dan saya semakin seronok apabila melihat mereka tersenyum selepas mendapat kaki palsu malah ada yang menangis apabila boleh berjalan serta bekerja semula bagi menyara keluarga.

"Jujurnya, itulah kepuasan yang saya rasakan, kerana dengan kesempurnaan anggota dan ilmu yang Allah kurniakan kepada saya, dapat saya gunakan untuk membantu insan yang memerlukan dan saya akan terus berada dalam bidang ini untuk menghasilkan lebih banyak inovasi kaki palsu untuk masa hadapan," katanya.

Kemahiran yang dimiliki Zolkifli mendapat pengiktirafan buat kali pertama apabila memenangi Anugerah Inovasi MAMPU peringkat nasional bagi projek Anggota Palsu Khas (APK) dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) pada tahun 1997 yang disertai bersama rakan-rakan menerusi kumpulan ICC Perpaduan.

Berbekalkan pengalaman dan kemahiran yang ada, Zolkifli bersama anggota kumpulan ‘Rehab Charger’ sekali lagi mendapat Anugerah Emas di Konvensyen KIK Yokohama, Jepun pada tahun 2011 dengan projek tongkat tiga (3) dalam satu (1) ‘Ezi Crutch’.

Sebagai seorang staf ‘senior’, Zolkifli tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan kemahiran yang ada. Beliau yang kini diberi mandat untuk mengurus dan mengetuai Bahagian Prostetik dan Ortotik, Unit Perubatan Pemulihan Hospital USM banyak menghabiskan masa dengan memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada staf-staf baharu untuk membuat kaki palsu yang baik mengikut teknik serta cara yang betul.

“Ilmu dan kemahiran yang ada akan saya kongsikan agar staf-staf baharu dapat meneruskan legasi dan mampu menghasilkan kaki palsu yang lebih baik apabila saya bersara nanti.

“Saya berharap agar bidang prostetik dan ortotik ini akan terus berkembang mengikut kemajuan teknologi terkini kerana saya percaya setakat ini kaki palsu yang dihasilkan di Hospital USM adalah yang paling murah dalam pasaran di Malaysia,” jelasnya lagi.

Bapa kepada empat orang cahaya mata ini juga turut berharap agar Bahagian Prostetik dan Ortotik Hospital USM terus menjadi rujukan masyarakat terutama di Pantai Timur kerana Hospital USM merupakan satu-satunya hospital kerajaan di Pantai Timur Malaysia yang mempunyai bengkel penghasilan prostetik dan ortotik.

zol3

Bercerita mengenai pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat di Bahagian Prostetik dan Ortotik Hospital USM, Zolkifli yang bakal bersara pada penghujung April 2021 memberitahu, semangat setiakawan dan silaturrahim yang terjalin antara staf tanpa mengira gred jawatan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan secara berpasukan sentiasa tersemat utuh di sanubari beliau.

“Saya bersedia untuk berkongsi kemahiran dan kepakaran yang saya miliki dalam menghasilkan prostesis sekiranya dipanggil untuk memberi penerangan kepada staf pelapis walaupun sudah bersara nanti.

“Ilmu untuk dikongsi, bukan untuk disimpan seorang diri,” katanya mengakhiri sesi temubual.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 935

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024