FESTIVAL BUDAYA TIONGHUA DAPAT SAMBUTAN
PULAU PINANG, 11 Mei 2013 – Lebih 600 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) termasuk pelajar dari Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Utara Malaysia memenuhi Auditorium Dewan Budaya sempena Festival Kebudayaan Masyarakat Tionghua yang berlangsung di sini baru-baru ini.
Majlis perasmian program anjuran Persatuan Bahasa Tionghua USM yang bertemakan “Eden of Fantasy” ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ See Ching Mey.
Beliau yang menyampaikan ucapan pada majlis yang sarat dengan pengisian persembahan kebudayaan dan keunikan masyarakat Cina itu turut menyarankan agar semua pelajar tidak mengira kaum dapat mempelajari bahasa Cina.
``Saya turut akan belajar menguasai mandarin dan bertutur lebih mendalam lagi bahasa ini. Saya berharap agar lebih ramai pelajar dari USM dan juga rakan-rakan dari universiti yang lain turut mempelajari bahasa yang indah ini,” ujar See Ching Mey.
Selain itu, beliau turut mengulas mengenai impian dan menyifatkan setiap individu mesti mempunyai impian masing-masing, merangkumi diri sendiri, keluarga, negara dan sebagainya.
``Saya amat berharap dalam konteks negara kita yang harmoni, setiap dari kita semua mesti bekerjasama dan berkorban untuk memastikan impian kita tercapai. Pun begitu, elakkan dari melakukan perkara-perkara negatif bagi menjayakan impian kita,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pelajar yang sangat kreatif dan berinovasi dalam menjayakan majlis tersebut.
``Saya berbangga dengan pelajar yang sentiasa tidak melupai warga emas dan menyayangi mereka yang mana hasil jualan tiket ini telah disumbangkan kepada Happy Retirement Home,’’ ujarnya mengulas keprihatinan pelajar terhadap golongan yang memerlukan.
Majlis ini diakhiri dengan Persembahan Kebudayaan yang meliputi persembahan tarian, nyanyian, dan juga sketsa oleh para pelajar. Teks: Mu’azzah Binti Ismail /Foto: Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 1727